Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kantin HTAR diarah tutup 15 hari
Diterbitkan:  Aug 19, 2017 7:14 AM
Dikemaskini: Aug 19, 2017 6:06 AM

Kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang diarahkan tutup selama 15 hari bermula semalam selepas didapati tidak mengamalkan penyediaan makanan yang bersih.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Zailan Adnan berkata penutupan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Notis arahan penutupan berkenaan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang pada jam 2 petang semalam selepas pemeriksaan dilakukan susulan video seekor tikus berada di dalam bekas sayur yang dihidangkan kepada pelanggan, tular di laman media sosial.

Dr Zailan berkata PKD Klang telah melakukan pemeriksaan dan tindakan diambil berdasarkan status kebersihan kantin berkenaan.

"Agak sukar untuk pastikan di mana rakaman video berkenaan diambil. Bagaimanapun, PKD akan menjalankan siasatan dengan terperinci," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Dr Zailan berkata walaupun arahan penutupan berkenan adalah sehingga 1 September, kantin berkenaan boleh beroperasi semula lebih awal jika ia dibersihkan segera dan pihak PKD berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dibuat.

Dalam video berdurasi selama 32 saat itu, seekor tikus dilihat berada di dalam bekas sayur dan sedang memakan sayur berkenaan yang ketika itu dihidangkan bersama makanan-makanan lain untuk dijual kepada pelanggan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS