Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pasang siap bukan untuk semua, masih perlu pekerja asing'

Putrajaya menggesa sektor pembinaan mengguna pakai teknologi sistem pembinaan perindustrian (IBS) untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing tetapi pendokong industri itu percaya terdapat halangan untuk ditangani sebelum ia dapat dicapai.

Berucap di majlis makan malam ulang tahun ke-63 Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata penggunaan teknologi IBS - istilah untuk kaedah pembinaan pasang siap - akan mengurangkan bilangan pekerja asing.

IBS, katanya, adalah penting sebagai satu kelebihan baru dalam industri pembinaan - lebih cepat siap, produktiviti meningkat, kurang sisa buangan, kurang kemalangan dan kos pembinaan keseluruhan yang lebih rendah.

Katanya, sehingga kini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah mendaftarkan 245 pengeluar IBS di seluruh negara dan beliau menggesa lebih ramai kontraktor untuk menggunakan teknologi IBS.

Penggunaan IBS, tambahnya, dianggarkan dapat mengurangkan perbelanjaan sebanyak 14 peratus dan syarikat pembinaan tidak perlu bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah.

Bangunan pasang siap dibina dengan menggunakan komponan atau unit yang dibuat di kilang yang diangkut dan dipasang di tapak untuk membentuk struktur lengkap.

Walaupun Najib tidak menyebut ini dalam ucapannya, kemungkinan gesaan itu berkaitan dengan hakikat bahawa Putrajaya akan mengenakan levi progresif terhadap majikan yang mengupah ramai buruh asing mulai 2019 dan seterusnya.

'Masih perlu pekerja asing'

Ketika ditemui di majlis tersebut malam tadi, Presiden MBAM Foo Chek Lee berkata persatuannya menyokong penggunaan IBS, tetapi menegaskan bahawa teknologi itu masih baru dan pekerja mahir belum mencukupi untuk mengendalikannya.

"Selain perlu menguruskan tapak pembinaan, kita perlu ada pereka bentuk dan pengeluar yang terlatih (untuk menyokong IBS)," jelasnya.

Foo percaya bahawa IBS mungkin boleh mengurangkan kos, tetapi ia mungkin tidak sesuai untuk semua pemaju kerana hanya sesetengah pemaju yang mempunyai projek yang cukup untuk memastikan penjimatan kos.

Salah satu langkah yang boleh diambil kerajaan untuk membantu memulakan penggunaan IBS ialah dengan mengurangkan cukai, contohnya, ke atas mesin yang diperlukan untuk memasang bahagian pasang siap di tapak pembinaan.

Bagaimanapun, tidak kira sama ada pemaju mengguna pakai kaedah IBS atau tidak, buruh asing masih merupakan keperluan untuk industri itu dan levi baru akan menyebabkan kos lebih tinggi akan disalurkan kepada pengguna.

Memandangkan ini, beliau berharap levi baru akan dikenakan secara berperingkat supaya industri itu dapat menahan kesannya.

"Realitinya ialah kita masih bergantung kepada buruh asing, sektor pembinaan sendiri memerlukan sekitar 900,000 hingga 1.2 juta pekerja," katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS