Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Pertumbuhan ekonomi negara menafikan tuduhan pengkritik
Diterbitkan:  Aug 19, 2017 11:10 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk meningkatkan unjuran pertumbuhan Malaysia tahun ini adalah pengesahan yang negara ini berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan tinggi dan menafikan tuduhan pengkritik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

IMF menaikkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 4.8 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini manakala Bank Dunia menyemak semula unjuran itu kepada 4.9 peratus daripada 4.3 peratus.

Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2017 dan melepasi jangkaan untuk suku kedua dengan pertumbuhan 5.8 peratus, kata Najib.

"Baru semalam, Fitch Ratings mengesahkan penarafan Malaysia dengan prospek stabil dengan menyatakan pertumbuhan kukuh KDNK kita, lebihan akaun semasa yang berterusan serta kedudukan pemberi kredit luaran bersih negara sebagai pemacu utama," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-63 Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) malam tadi.

Najib yang juga menteri kewangan menggesa orang ramai agar tidak mendengar mereka yang menyebar berita palsu mengenai Malaysia.

"Sebenarnya sebagaimana laporan terbaru daripada Bank Dunia simpulkan dan saya petik, 'ekonomi Malaysia sedang berkembang daripada satu kedudukan yang kukuh', katanya.

Perdana menteri juga berkata, ada pihak yang cuba menyatakan yang hanya rakyat asing akan mendapat manfaat daripada pelbagai projek di negara ini.

"Ia adalah sesuatu yang sangat tidak benar,” tegasnya.

Menurutnya, daripada kontrak bernilai RM21 bilion untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, RM17 bilion diberikan kepada syarikat Malaysia. Dan untuk Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang akan dibina, RM26.7 bilion daripada RM30 bilion setakat ini telah diberikan kepada kontraktor Malaysia.

"ECRL akan menjadi pengubah penting yang akan merangsang pelaburan serta aktiviti komersil, mewujudkan beribu-ribu pekerjaan, membantu pendidikan berkualti serta meningkatkan pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan... dan selain itu ia menjamin 30 peratus pembabitan kontraktor tempatan.

"Jika kita ambil Lebuhraya Pan Borneso sebagai satu lagi contoh, apabila pakej kerja di bawah fasa pertama bahagian Sarawak diumumkan Disember lepas, sebahagian besar daripadanya diperoleh syarikat tempatan dan usaha sama mereka, dengan memperoleh RM10 bilion daripada RM16.5 bilion dana yang diperuntukkan," katanya.

Sambil memberi ucapan tahniah kepada MBAM sempena sambutan ulang tahun malam ini, Najib berkata, persatuan itu akan membantu Malaysia merubah industri pembinaan Malaysia kepada kelas dunia.

Menurut beliau, setakat Mac 2017, kontraktor Malaysia telah memperoleh projek lebih RM18.5 bilion di India, RM16.6 bilion di negara-negara ASEAN serta RM12.4 bilion di Arab Saudi.

"Ini adalah bukti yang keupayaan dan pengalaman kontraktor Malaysia, digabung dengan hubungan antarabangsa yang kukuh yang telah saya jalin, boleh membawa pertumbuhan ekonomi kepada negara keseluruhannya," katanya.

Dengan keanggotaan lebih 14,000 syarikat dan kumpulan, MBAM telah memainkan peranan penting dalam sektor itu yang dijangka tumbuh lapan peratus pada 2017.

Industri pembinaan akan terus mencatat pertumbuhan mantap dalam tempoh lima tahun akan datang, sebahagiannya dirangsang oleh projek infrastruktur yang dilaksana kerajaan di seluruh negara.

Projek itu termasuk ECRL, Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura, Lebuhraya Pan Borneo, KL118 serta Projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapis Minyak dan Petrokimia di Johor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS