Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Desakan terbaru RCI Memali suratan dan kebetulan
Diterbitkan:  Aug 20, 2017 10:44 AM
Dikemaskini: 4:26 AM

PAS yang mempromosi amalan politik matang dan sejahtera berkata Tun Dr Mahathir Mohamad perlu ke Memali untuk meminta maaf jika bekas perdana menteri itu memang tidak terlibat dalam insiden yang menyebabkan hampir 20 orang terbunuh lebih tiga dekad lalu.

Kata timbalan presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata buat masa ini "masing-masing" sedang membuat tuduhan.

"Dia (Dr Mahathir) kata Tun Musa Hitam, Tun Musa kata Mahathir, dan bagi PAS, Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Tuan Ibrahim yang kini melaksanakan tugasan presiden PAS berkata gesaan sekali lagi parti itu supaya RCI ditubuhkan selepas berlaku kekecohan semasa forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam baru-baru ini juga bukan serangan peribadi kepada Dr Mahathir.

Sebaliknya kata beliau, secara kebetulan PAS Pusat mengadakan mesyuarat pada hari yag sama kekecohan berlaku.

Forum Nothing To Hide 2.0 anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) itu diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan di Seksyen 7 Shah Alam pada 13 Ogos lalu.

Diuar-uarkan sebagai debat antara Dr Mahathir dan seteru utamanya ketika ini - Datuk Seri Najib Razak - ia berlangsung dengan lancar sehinggalah ada penonton membangkitkan isu Memali di Baling, Kedah yang berlaku pada 1985.

Nampak mesra Umno

Tragedi Memali ialah detik signifikan kepada PAS kerana membabitkan pemimpin dan penyokong parti itu. Seramai 18 orang terbunuh dalam insiden berkenaan, termasuk empat anggota polis.

Pengkritik menyalahkan Dr Mahathir - yang menjadi perdana menter ketika itu - sebagai orang yang bertanggungjawab atas kematian Ibrahim Mahmud serta mangsa lain.

Seorang anak penyokong PAS yang terbabit, Mohamad Zuhdi Mat Piah, turut mendakwa tangan Dr Mahathir "berlumuran darah" mangsa Memali dan menceritakan semula insiden itu melalui catatannya baru-baru ini.

Mohamad Zuhdi mengaku ketika itu dia berusia setahun.

Seorang lagi tokoh yang dituding ialah Musa yang ketika itu menjadi menteri dalam negeri.

Dr Mahathir kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menggabungkan PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS pada masa sama memilih jalan lain untuk menjadi pembangkang dengan membentuk Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pimpinan bekas menteri serta anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Meski pun dinafikan sesetengah pembangkang mendakwa PAS kini semakin mesra dengan Umno dan didakwa membantu parti itu secara tidak langsung untuk menghadapi HARAPAN.

Tak perlu bantah

Menurut Tuan Ibrahim, RCI yang didesak oleh PAS itu perlu mewakili seluruh kepentingan rakyat termasuk bekas-bekas ketua hakim, pegawai kerajaan dan agensi yang difikirkan layak.

Dipetik selepas berceramah di Kuala Terengganu Tuan Ibrahim berkata mengikut prinsip syarak, mangsa insiden itu perlu diberi balasan setimpal, dibayar pampasan atau pelakunya meminta maaf.

"Tapi pada peringkat ini, saya fikir (pihak yang terbabit) perlu mengakui kalau kita buat kesilapan, dan saya pernah sebut (perkara ini) kepada Datuk Seri Mukhriz oleh kerana Tun (Mahathir) sebut dia tak terlibat," katanya.

Katanya kerajaan perlu segera menubuhkan RCI Memali kerana isu itu telah berlalu hampir 32 tahun lalu.

“Bagi PAS ini bukan soal nak attack Dr Mahathir atau mana-mana individu.

"Cadangan untuk siasat ini kerana kita nak menegakkan keadilan. Dan di atas prinsip keadilan ini, maka kita perlu berlapang dada.

“Kalau rasa terlibat sama, tak perlu nak bantah sebab kita nak menegakkan prinsip keadilan, bukan nak tohmah mana-mana individu.

"Itu pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang kita bawa,” jelas beliau.

Lihat Komen
ADS