Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata terserah kepada Tun Dr Mahathir sama ada beliau mahu meminta maaf atau tidak dalam insiden Memali.

Menegaskan kemunculan isu Memali berkait rapat dengan pilihan raya umum (PRU) Mohamad berkata beliau tidak boleh memberikan pandangan bagi pihak Dr Mahathir.

"Terserah kepada dia. Dia orang yang bijak," katanya kepada media selepas menghadiri Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Ketua AMANAH Wilayah Persekutuan Dr Hatta Ramli.

Menurut Mohamad selepas reda beberapa lama nampaknya isu Memali dimainkan kembali dan ia berlaku beberapa kali sebelum ini.

Katanya, sekarang ia diungkit semula ketika Dr Mahathir semakin giat berkempen melawan BN bagi menghadapi PRU ke-14 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Ditanya pandangan AMANAH terhadap desakan PAS supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu Memali, Mohamad berkata pihaknya tidak ada masalah dengan cadangan itu.

Ambil keputusan bersama

Bagaimanapun kata Mohamad ia tidak bermakna AMANAH menyokong PAS sebaliknya semua isu utama yang perlu, wajar ditubuhkan RCI.

Antara isu yang memerlukan RCI, katanya, ialah skandal 1MDB.

"Itu (1MDB) paling popular sekarang tapi kenapa yang itu didiamkan? Itu (skandal) paling besar, memalukan kita kepada dunia" katanya.

Tragedi Memali berlaku di sebuah petempatan di Baling, Kedah ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden Umno.

Seramai 18 orang terbunuh apabila anggota keselamatan mengepung dan memaksa seorang anggota PAS Ibrahim Mahmud dan pengikutnya menyerah atas tuduhan mengancam keselamatan.

Bagaimanapun berlaku pertempuran. Empat daripada 18 orang yang terbunuh itu ialah anggota polis.

Isu Memali semakin panas apabila Dr Mahathir - yang kini menjadi antara tokoh utama pakatan pembangkang - disoal mengenainya semasa forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam 13 Ogos lalu.

PAS kemudian sekali lagi mendesak RCI mengenai Memali ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata desakan itu bukan satu bentuk serangan peribadi kepada Dr Mahathir sebaliknya jawatankuasa pusat parti itu secara kebetulan bermesyuarat mengenai Memali pada hari forum berkenaan kecoh.

Mohamad yang pernah menjadi timbalan presiden PAS berkata isu Memali dijangka akan kembali reda selepas PRU ke-14 berlangsung.

Sementara itu mengenai ura-ura Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) akan menyertai Pakatan Harapan, Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang gabungan itu pada 28 Ogos ini.

"Kalau ada agenda itu, kita akan bincangkan dan sebarang keputusan kan dibuat secara bersama," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS