Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak mangsa Memali tawar diwawancara
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 12:28 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Seorang anak mangsa peristiwa Memali di Kedah berkata beliau sedia menjelaskan apa yang sebenarnya disampaikan ketika dia bercerita mengenai insiden yang berlaku lebih tiga dekad lalu.

Mohamad Zuhdi Mat Piah bagaimanapun menyatakan kesanggupannya itu bersyarat, iaitu mesti diadakan secara langsung.

Dia yang kini dilantik sebagai bendahari PAS Selangor berkata mana-mana media boleh menemu ramahnya mengenai kejadian yang menimpa penyokong parti itu di Baling, Kedah pada 19 November 1985 dulu.

Salah seorang penduduk kampung yang cedera dalam kejadian itu ialah bapa Mohamad Zuhdi sendiri.

Mohamad Zuhdi mengaku ketika itu dia baru berusia setahun. Bagaimanapun pengalaman yang dikisahkannya itu - disiarkan di akaun rasmi Facebook Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Malaysia Official) - menimbulkan tanda tanya kerana dia boleh mengingati semua kejadian berkenaan pada usia yang masih kecil.

"Waktu itu ayah ditembak 14 peluru dan selepas mengeluarkan semua peluru itu dia ditahan dalam ISA. Saya ada sebut bagaimana ibu ceritakan saya menangis ketika dibawa melawat ayah dalam tahanan," kata Zuhdi seperti dipetik Sinar Harian.

Tangan ada darah mangsa Memali

Mendakwa kenyataannya itu diputar belit, Mohamad Zuhdi berkata apa yang ditulisnya itu adalah hasil penceritaan ibu dan abangnya yang terlibat dalam peristiwa itu.

Malah dia mendakwa tulisan berkenaan ditularkan sebuah parti politik untuk memburuk-burukkannya.

"Selepas tular tulisan saya di Facebook, pihak tersebut ada hubungi untuk bertemu ramah, tapi saya nyatakan tidak bersedia.

"Saya juga tak mahu kenyataan saya diambil hanya sebahagian. Jika mahu, ambil sepenuhnya apa yang di tulis," kata Mohamad Zuhdi.

Isu Memali kembali hangat susulan kekecohan yang berlaku semasa program Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) di Seksyen 7 Shah Alam pada 13 Ogos lalu.

Kekecohan timbul ketika Tun Dr Mahathir Mohamad ditanya mengenai isu berkenaan oleh salah seorang yang hadir di forum berkenaan.

Dr Mahathir adalah perdana menteri ketika insiden Memali berlaku. PAS sudah beberapa kali menuntut suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat tragedi berkenaan.

Mohamad Zuhdi kemudian menulis catatan berkenaan dan mengaitkan Dr Mahathir dengan kata-kata: "Pada 19 November 1985 tanganmu berlumuran darah-darah mangsa Memali."

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerajaan sedia menimbang cadangan untuk menubuhkan RCI bagi kes Memali.

Semakan Malaysiakini tengah hari ini pada kenyataan dibuat Mohamad Zuhdi dan disiarkan oleh akaun DPP Malaysia Official tidak menemui ayat menyatakan kisah itu disampaikan kepadanya oleh orang lain.

Lihat Komen
ADS