Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan dedah surat bantah kilang haram kepada KM
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 3:01 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

Gerakan Pulau Pinang hari ini mendedahkan surat bantahan bertarikh 25 Sept tahun lalu berhubung kilang yang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas itu telah dihantar kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Naib pengerusi Gerakan Oh Tong Keong berkata surat yang dihantar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu diterima oleh wakil kerajaan negeri pada 4 Okt tahun lalu namun sehingga kini kilang itu masih dibenarkan beroperasi secara haram.

"Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri gagal menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya penduduk di Kampung Sungai Lembu," katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, surat itu telah mendapat tanda tangan 179 wakil penduduk di kawasan berkenaan bagi mendesak kerajaan negeri supaya mengambil tindakan terhadap kilang yang mencemarkan kawasan perkampungan mereka.

Beliau berkata kegagalan kerajaan pimpinan DAP menangani isu kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lalu itu telah membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai panduan urus tadbir yang cekap.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu itu, yang dipercayai mencemari alam sekitar di Kampung Sungai Lembu.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes itu.

Susulan itu, SPRM menahan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang itu bagi membantu siasatan.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan anggota Dewan Undangan Negeri Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS