Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tentera Filipina selamatkan tebusan warga Vietnam
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 3:06 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

GLOBAL l Seorang kelasi warga Vietnam yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada November lepas, berjaya diselamatkan tentera Filipina, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut Tentera Laut Filipina, mangsa Do Trung Huiqe kelasi kapal MV Royal 16 diselamatkan semalam di Pulau Mataja, Basilan.

"Operasi ketenteraan yang dilancarkan menyebabkan kumpulan Abu Sayyaf terpaksa melarikan diri dan ia sekaligus memberi peluang menyelamat mangsa," kata Panglima Angkatan Tentera Barat Mindanao Laksamana Rene Medina dalam satu kenyataan hari ini.

Do Trung Huiqe antara enam anak kapal MV Royale 16 diculik Abu Sayyaf kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan pada 11 Nov lalu, berhampiran Pulau Sibago di Selat Basilan.

Bagaimanapun, dua lagi rakannya Hoang Trung Thong dan Hoang Va Hai dipancung pada Julai lepas manakala seorang lagi berjaya diselamatkan Jun lepas.

"Do Trung Huiqe akan dibawa ke sebuah hospital tentera untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan kerajaan Vietnam," kata Medina.

Terdapat kira-kira 20 tebusan yang masih berada dalam tahanan Abu Sayyaf.

Kumpulan militan Abu Sayyaf ditubuhkan pada awal 1990-an dan antara kumpulan pemberontak di Filipina yang ikrar taat setia kepada Daesh.

Abu Sayyaf terkenal dengan jenayah penculikan untuk mendapatkan tebusan, pengeboman dan rompakan di selatan Filipina serta menjadikan wilayah terpencil di Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi sebagai lokasi persembunyian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS