Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad adalah seorang suspek dalam kes pembelian dua hotel oleh anak syarikat agensi kerajaan itu, Felda Investment Corperation Sdn Bhd (FIC).

Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menyanggah kenyataan peguam Isa, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki berkata seseorang yang ditahan dan direman, ia bermakna individu terbabit sedang disiasat.

"Jika kamu ditangkap atas sebab sesuatu dan majistret membenarkan reman, bermakna seseorang itu di bawah siasatan.

"Tentulah seseorang itu jika ditahan, dia adalah suspek (SPRM)," katanya (gambar) kepada media di Putrajaya hari ini.

Isa yang pernah dipilih anggota Umno menjadi naib presiden mereka itu ditahan SPRM semasa hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah terbabit di Putrajaya pada 15 Ogos lalu.

Sehari kemudian SPRM mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan reman Isa selama lima hari.

Sejak ditahan SPRM membuat serbuan di rumah serta pejabat Isa, dan merampas wang bernilai RM100,000.

Isa, 67, pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun iaitu antara April 1982 hingga Mac 2004.

Di sebalik sabitan amalan politik wang dan bantahan pelbagai pihak, Isa dilantik kerajaan untuk menduduki kerusi pengerusi Felda pada 1 Januari 2011 sehinggalah beliau digantikan oleh Tan Sri Shahrir Samad pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun beliau kekal sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) sebelum melepaskan jawatan ekoran berlaku krisis dalaman syarikat terbabit.

Sabar dan tunggu

Pengunduran Isa diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada 19 Jun lalu. Pada masa sama perdana menteri mengesahkan Isa dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Bagi menghargai peranan Tan Sri Isa dalam FGV, (kerajaan) setuju melantik beliau sebagai pemangku pengerusi SPAD berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata penahanan dan serbun itu dibuat bagi membantu agensi terbabit menyiasat pembelian dua hotel oleh FIC - masing-masing di London dan Sabah.

Peguam bela Isa, Datuk K Kumaraendran, menjelaskan Isa ditahan hanya untuk membantu siasatan dan bukan menjadi suspek kepada kes itu.

Kenyataan itu dibuat selepas Isa dibebaskan daripada reman pada 20 Ogos lalu.

Kata Azam, ada pihak mungkin perlu membuat ulang kaji sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.

"Saya fikir sesetengah orang mungkin perlu membuat kajian jenayah.

"Apabila kami menahan dan mereman seseorang itu menunjukkan dia disiasat. Jika kamu ditahan, kamu adalah suspek saya," katanya.

Ditanya mengenai status siasatan kes pembelian hotel yang didakwa SPRM dibuat lebih tinggi berbanding harga pasaran, Azam berkata ia sedang disiapkan.

Bagaimanapun Azam enggan memberikan butiran lanjut mengenainya.

"Biar pegawai SPRM lengkapkan siasatan dan kami akan maklumkan kerana buat masa ini saya tak mahu dedahkan banyak maklumat mengenainya.

"Bila siasatan akan siap - anda cuma perlu sabar dan tunggu.

"Selepas siasatan dilengkapkan ia akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk diteliti sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS