Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rombongan Nik Abduh jumpa paderi lagi
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 12:13 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

PAS terus mengadakan pertemuan dengan pemimpin agama bukan Islam bagi menjelaskan pelbagai isu agama berkaitan parti Islam itu.

Terbaru, semalam rombongan ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, anggota biro dakwah parti itu serta pemimpin pusatnya mengunjungi biskop Bernard Paul di Majodi Centre, di Masai, Johor.

“Pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam tiga puluh minit itu telah berlangsung secara harmoni dengan kedua-dua pihak saling bertukar pandangan ke arah untuk mewujudkan keharmonian di dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” kata Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Antara isu dibangkitkan, kata Khairul Faizi, termasuk pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2017 (Akta 164) dan hukum hudud.

Melalui pindaan Akta 355, PAS cuba melipatgandakan hukuman penjara, denda dan sebat di mahkamah syariah.

Dalam isu Akta 164 pula, PAS menentang seksyen yang tidak membenarkan penukaran agama anak secara sepihak oleh ibu atau bapa.

Akta itu kemudian diluluskan di mahkamah tanpa seksyen kontroversi itu.

Enam bulan lalu, PAS melalui dewan Pemudanya telah menziarahi sebuah gereja di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, yang antaranya membincangkan kegusaran mereka terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Bagaimanapun, ketika itu, isu pindaan Akta 355 tidak berbangkit, kata Penolong Setiausaha 1 dewan itu Nurul Islam Mohamad Yusoff.

Dalam kenyataannya hari ini, Khairul Faizi berkata Nik Abduh berkata kejahilan memahami agama menyebabkan hubungan masyarakat menjadi rosak.

"Agama adalah untuk sejahtera. Kerana itu PAS mengajak kepada kesejahteraan.

“Tiada agama yang mengajak ke arah perkara yang negatif," ujar beliau.

Bernard pula dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada rombongan PAS kerana berusaha membina jambatan untuk membentuk masyarakat yang lebih harmoni.

“Beberapa pandangan dan cadangan yang dikemukakan di dalam pertemuan tersebut akan dibawa kepada PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya.

“Diharapkan pertemuan seperti ini akan mendekatkan PAS dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Sebelum ini, usaha mendekati masyarakat bukan Islam banyak dilakukan oleh pemimpin kanannya Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Bagaimanapun anak bekas presiden PAS itu telah berpaling tadah bersama sekumpulan lagi penyokong kanan parti itu dengan menubuhkan parti Islam baru, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen
ADS