Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir bangkit lepas sindir tak jalan, tegur tak jalan
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Seseorang ahli politik yang sebati dengan dunia itu tidak akan dapat membisu melihat sesuatu yang dirasakannya salah atau tidak normal.

Seperti allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, wartawan veteran Subky Latif melihat Tun Dr Mahathir juga mempunyai sikap sama.

Suatu ketika dulu perdana menteri pertama Malaysia itu "mempelupuh" pentadbiran penggantinya Tun Abdul Razak Hussein.

"Apabila diganti, Tun Hussein Onn dipelupuhnya juga.

"Ketika semua jongos kata Tun Dr Mahatahir Mohamad sebagai perdana menteri yang kelas, Tunku saja yang terus membalunnya. Orang tak boleh buat apa kepadanya," tulis Subky melalui kolumnya di Harakahdaily hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat bersama Utusan Melayu suatu ketika dulu berkata selepas berundur daripada jawatan sebagai perdana menteri Dr Mahathir berdiam diri agak lama juga.

Ketika pelbagai kemudahan dan jawatan diberikan kepadanya oleh kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak "naik tocang", Dr Mahathir menjadi seperti Tunku Abdul Rahman.

"[...] Tidak dapat didiamkan cacing mencolok mata.

"Selepas sindir tak jalan, tegur tak jalan, dia bangkit dan tentang," katanya.

Dr Mahathir masih sedar, kata Subky, bahawa rekod kerajaannya juga tidaklah bersih daripada masalah.

Bagi rezeki pada 'sawa'

Bagaimanapun, katanya, "penyakit" yang ada dalam kerajaan Dr Mahathir dulu tidak menghalangnya untuk berpakat dengan pelbagai pihak untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang.

Katanya, diyakini pada awalnya kerajaan dan Umno sendiri tidak mahu menyerang Dr Mahathir seperti apa yang mereka lakukan sekarang.

"Tapi kerana Dr Mahathir tak mahu diam, degil mengancam Najib dan Umno, maka baru mereka mula suruhanjayakan dia. Bisnes anaknya juga dikacau.

"Mengapa Dr Mahathir mereka kacau? Kerana Dr Mahathir kacau mereka!

"Jika Dr Mahathir reda dengan kepincangan yang ada, mereka biarkan Dr Mahathir jadi sawa kenyang. Lambakkan sawa itu dengan macam-macam rezeki.

"Tetapi Dr Mahathir sedia habis segala-galanya. Menangis adalah biasa baginya, tapi menangis itu tidak akan menghalangnya membangkitkan kelemahan Najib dan kerajaan.

"Tidak pelik jika dia sedia dipenjara. Itulah Mahathir," katanya.

Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab menonjolkan Najib sebagai perdana menteri bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Diktator berkuasa sampai mati

Walaupun begitu, Dr Mahathir menjadi antara pengkritik lantang terhadap kerajaan Najib, terutama selepas isu 1MDB didedah dan dikaitkan dengan perdana menteri.

Dr Mahathir kemudian meninggalkan Umno - parti yang pernah dipimpinnya selama lebih 20 tahun - dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kerajaan baru-baru ini pula bersetuju menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat skandal kewangan yang merugikan negara semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Beberapa hari lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kesediaan kerajaan mempertimbangkan cadangan menubuhkan satu lagi RCI bagi menyiasat insiden Memali pada 1985.

Ia adalah tragedi membabitkan pasukan polis dengan orang kampung penyokong PAS yang juga berlaku semasa zaman pentadbiran Dr Mahathir.

Putrajaya bagaimanapun menafikan penubuhan RCI itu bertujuan untuk menekan Dr Mahathir.

Mengenai dakwaan diktator yang dilabelkan kepada pengerusi BERSATU itu, Subky berkata ia sudah ada sejak lama dulu namun ia direlakan Umno.

"(Orang) yang keras sepertinya dulu memang boleh cap diktator, tetapi diktator yang tepat (sepatutnya) berkuasa sampai mati, hanya digantikan oleh anaknya, tidak meletak jawatan semasa masih popular dan segar (serta) tidak menggunakan kabinet dan parlimen sangat.

"Nak dikatakan (Dr Mahathir) diktator, tak berapa diktator sangat; nak dikatakan tidak diktator, masing-masing cuak dengannya seperti takutnya orang kepada diktator.

"Jika dia diktator seperti Stalin, Gaddafi dan lain-lain, kerajaan demokrasi dan berparlimen tidak membiarkannya lama bebas dan menikmati berbagai kemudahan kerajaan dan negara.

"Jika hendak hidup senang selepas bersara saja seperti logik yang rata-rata Umno suka, jangan kacau masa dan giliran pentadbiran orang lain.

"Buat saja seperti yang Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah (lakukan) - tak peduli apa yang berlaku. Diam, diam dan diam!" katanya.

Lihat Komen
ADS