Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Memali: Kit Siang, Rahim Noor bangkitkan 'Amanat Hadi'
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 12:49 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang dan bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor mengaitkan 'Amanat Hadi' dengan tragedi Memali yang mengorbankan 14 penduduk kampung dan empat anggota keselamatan.

Lim berkata, jika suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang patut memberi keterangan terhadap ucapannya di Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

“(Beliau patut beri keterangan) berkaitan kesan Amanat Hadi dan kematian 18 nyawa pada tahun 1985 dan bagaimana beliau patut mendamaikan hubungan mesra dan pembelanya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razaj dan skandal 1MDB,” kata Lim.

Isu Memali timbul kembali dalam forum melibatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Shah Alam pada 13 Ogos lalu yang mencetuskan huru-hara dan keganasan.

Tragedi lebih 30 tahun lalu itu menyaksikan pertempuran antara penduduk kampung diketuai pemimpin PAS Ibrahim Libya dan pasukan keselamatan.

Ibrahim dikaitkan dengan ajaran sesat dan keganasan tetapi dakwaan ini dinafikan PAS.

Amanat Hadi pula didakwa pengkritik menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam dan mewujudkan sikap kafir mengkafir.

Hadi antaranya menyebut “jihad” PAS menentang Umno kerana “mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah”.

“Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.

“Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku," kata Hadi.

Rahim: Ibrahim taasub dengan 'Amanat Hadi'

Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan Rahim sebagai berkata RCI Memali hanya akan mendedahkan peranan Hadi.

“Sekiranya RCI diadakan, tidak dapat dielakkan hakikat tentang peranan Hadi melalui 'Amanat Hadi' sehingga berlakunya tragedi berdarah Memali,” Rahim dipetik sebagai berkata.

Katanya, amanat yang disebarkan Pemuda PAS hingga menjadi buah mulut di seluruh negara itu turut sampai kepada Ibrahim.

“Akhirnya benda ni pun sampailah ke Ibrahim Libya. Dia pernah belajar agama di Libya dan sebab itu digelar Ibrahim Libya.

“Ibrahim merupakan seorang pengikut PAS tegar dan aktif. Dia betul-betul taasub dengan 'Amanat Hadi', ” kata Rahim yang ketika peristiwa itu menjadi ketua polis Selangor.

Lihat Komen
ADS