Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'RCI Memali harus teliti sikap takfiri, keganasan polis'
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 6:50 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali harus menyeluruh, termasuk melihat kesan 'Amanat Hadi', kegiatan kafir mengkafir dan “keganasan” polis, kata Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata ia juga mesti melihat punca yang mendorong penangkapan Ibrahim Libya.

“Persoalan yang Pemuda AMANAH mahu timbulkan, beranikah PAS menuntut suatu RCI yang telus dan menyeluruh - merangkumi aspek punca dan elemen-elemen asas yang mendorong ke arah tragedi tersebut?

“Pada hemat kami, keseluruhan aspek ini penting untuk disiasat memandangkan pihak kerajaan telah pun membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di parlimen pada tahun 1986,” katanya.

Kerajaan kelmarin bersedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi mengkaji tragedi itu jika ada pihak yang memintanya.

Isu Memali timbul kembali dalam forum melibatkan Mahathir di Shah Alam pada 13 Ogos lalu yang mencetuskan huru-hara dan keganasan.

Tragedi itu menyaksikan pertempuran antara penduduk kampung diketuai Ibrahim dan pasukan keselamatan yang mengorbankan 18 nyawa, termasuk anggota pasukan keselamatan.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Shazni juga memetik perenggan 15, 16 dan 17 Kertas Putih Memali.

'Percaya orang Umno kafir'

Bahagian itu mendakwa peristiwa itu dipercayai berakar daripada ketaasuban terhadap Amanat Hadi, merujuk kepada pidato Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu pada 1981.

“Bahkan lebih spesifik dalam perenggan ke-17, Muhamad Yusof bin Husin mengakui bahawa dirinya berpegang teguh dengan amanat itu dan berfahaman bahawa orang-orang Umno itu kafir,” katanya.

Beliau juga berharap episod kafir mengkafir atau takfiri tidak lagi berulang.

Veteran DAP Lim Kit Siang dan bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor hari ini mengaitkan amanat itu dengan tragedi Memali.

Amanat Hadi pula didakwa pengkritik menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam dan mewujudkan sikap kafir mengkafir.

Hadi antaranya menyebut “jihad” PAS menentang Umno kerana parti itu“mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah”.

Justeru, katanya, mati melawan “puak-puak” itu adalah syahid.

Beliau juga berkata umat Islam boleh menjadi kfari dengan mengamalkan “politik suku, agama suku”.

Lihat Komen
ADS