Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang lelaki yang dipercayai mabuk, melecur pada bahagian badan apabila menyalakan pemetik api ketika mahu melepaskan diri setelah ditahan di Balai Polis Jelapang, Ipoh, Perak hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata dalam kejadian kira-kira 12.22 tengah hari, lelaki berumur 47 tahun itu ditahan polis kerana telah menimbulkan kekecohan di balai polis tersebut dengan meronta-ronta selepas digari.

"Suspek berjaya mengeluarkan pemetik api dari saku seluarnya dan menyalakannya hingga menyebabkan bahagian badannya terbakar sebelum anggota polis memadamkan api tersebut dengan menggunakan air paip berhampiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya suspek dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut dan polis telah merampas sebilah parang yang ditemui di motosikal yang dibawa suspek.

Gan berkata pada mulanya kejadian itu berlaku apabila suspek dikatakan datang ke balai polis itu untuk membuat laporan, namun dinasihatkan pulang kerana berada dalam keadaan mabuk dan diminta kembali semula membuat laporan apabila keadaannya telah stabil.

"Kata-kata anggota polis itu bagaimanapun telah menyebabkan suspek marah dan dia kemudiannya meninggikan suara pada anggota polis.

“Suspek turut mengugut bahawa tindakan anggota polis enggan melayannya itu akan dimasukkan ke dalam laman sosial Facebook dan isu itu akan ditular kepada umum sebelum dia keluar dari balai polis," katanya.

Gan berkata suspek kemudian kembali semula ke balai polis tersebut dan menggunakan kekerasan seperti menolak-nolak anggota polis serta melakukan provokasi.

"Atas tingkah laku yang tidak senonoh itu, maka tangkapan dibuat terhadap suspek bagi mengawal keadaannya," katanya.

Gan berkata hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai 12 rekod kesalahan lampau mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS