Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felda jamin bantu ladang terjejas akibat bencana, penyakit
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 5:50 AM
Dikemaskini: Aug 24, 2017 4:38 AM

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad memberi jaminan bahawa agensi itu tetap memberi keutamaan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan peneroka termasuk membantu memulihkan ladang yang terjejas akibat bencana alam, serangan penyakit dan perosak.

Beliau berkata langkah membantu peneroka itu selain ditanggung oleh Felda, turut menggunakan dana daripada Akaun Pemulihan Ladang yang diwujudkan sejak tahun 1972.

"Akaun Pemulihan Ladang ini juga disebut sebagai Insurans Ladang di dalam resit nota serahan peneroka. Kadar caruman yang dikenakan kepada peneroka adalah sebanyak RM10 bagi setiap ekar setahun dan potongan dibuat secara bulanan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya kos bagi membantu memulihkan ladang yang terjejas setiap tahun adalah tinggi dan kebiasaannya dana yang dikutip menerusi insurans ladang tidak mencukupi bagi tujuan itu.

"Pada tahun 2016 sahaja, caruman sebanyak RM4.5 juta dikutip daripada peneroka manakala sebanyak RM7.24 juta telah dibelanjakan bagi pemulihan akibat bencana alam, serangan penyakit dan perosak.

"Felda telah menanggung lebihan kos tuntutan daripada caruman bagi melindungi kepentingan kebun peneroka hampir setiap tahun," katanya.

Shahrir berkata beliau sedar mengenai dakwaan terbaharu yang dibuat sekumpulan peneroka yang tidak berpuas hati berhubung usaha Felda membantu menangani kes serangan ulat bungkus di ladang mereka apabila mendakwa Insurans Ladang itu tidak wujud dan Felda menipu kutipan caruman bulanan itu.

Menjawab tuduhan itu, beliau berkata dakwaan kumpulan peneroka dari Gugusan Hulu Selangor, Besut dan Trolak itu tidak benar malahan pengurusan Felda mengadakan pertemuan dengan peneroka terjejas pada 4 Ogos lepas serta membantu mereka berdasarkan program pemulihan yang ditetapkan seperti semburan racun, suntikan batang dan dalam kes tertentu diganti tanaman baharu.

Beliau berkata Akaun Pemulihan Ladang itu adalah satu rekod khas yang diaudit setiap tahun oleh juruaudit yang dilantik oleh Jabatan Audit Negara serta mengikut Piawaian Laporan Kewangan Negara.

Bagaimanapun, Shahrir mengakui terma Insurans Ladang yang digunakan di dalam resit nota serahan peneroka bagi caruman Akaun Pemulihan Ladang ini telah menimbulkan kekeliruan dan sehubungan itu pengurusan Felda telah mengenal pasti kelemahan dan akan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi kekeliruan itu

Beliau juga memohon para peneroka untuk mendapatkan penjelasan terus daripada pengurusan Felda berhubung sesuatu masalah dan tidak menularkan isu-isu yang tidak berasas hingga menjejaskan keharmonian dalam kalangan peneroka.

Sementara itu, dalam kenyataan lain, Shahrir berkata kerja-kerja bagi mengawal serangan ulat bungkus di Felda Gugusan Hulu Selangor disambung semula pada Julai selepas tindakan kawalan selama enam bulan sebelum ini berakhir Mei lalu.

Beliau berkata kerja-kerja pengawalan yang menggunakan teknik suntikan batang bermula Disember tahun lalu dihentikan sementara kerana tahap hidup ulat bungkus yang tidak sesuai untuk kerja-kerja kawalan.

"Pada Julai tahun ini, kawalan dimulakan sebaik sahaja tahap hidup ulat itu berada pada tahap yang aktif. Setiap kawalan yang dibuat adalah berdasarkan bancian ulat bungkus yang sesuai dan kerja-kerja sentiasa dipantau pihak pengurusan rancangan," katanya bagi menjelaskan dakwaan bahawa Felda lewat bertindak dalam menangani serangan ulat bungkus di kawasan berkenaan.

Shahrir berkata sejak November tahun lalu sehingga kini, kira-kira 2,000 hektar kawasan kebun di gugusan itu terjejas akibat serangan ulat bungkus yang berulang akibat faktor luar jangka seperti bawaan angin, haiwan dan kenderaan.

Beliau berkata Felda telah mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) termasuk menjalankan bancian setiap dua minggu bagi memastikan kawalan adalah efektif dan serangan tidak merebak.

"Selain kawalan perosak yang dilaksanakan secara berterusan, Felda turut menyediakan latihan berkala kepada petugas dan masyarakat setempat berkaitan kawalan ulat bungkus dan kawalan bencana lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS