Akar umbi PKR Selayang bersolidariti bersama MP
Lebih 20 anggota akar umbi PKR Selayang menziarahi wakil rakyat,mereka, William Leong, yang baru-baru ini meletak jawatan dari Biro Politik parti itu, sebagai tanda solidariti mereka.
Menurut pembantu Leong, Chua Wei Kiat, mereka berjumpa Leong di pusat khidmatnya kira-kira jam 10 malam semalam dan pertemuan berlangsung selama sejam.
"Lebih 20 orang, terdiri daripada anggota cawangan PKR dan ketua kampung Gombak mendengar penjelasan daripada Leong berhubung keputusannya.
"Mereka positif dan menyokong Leong," kata Chua kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Malaysiakini difahamkan bahawa anggota akar umbi itu akan mengadakan sidang akhbar esok di Taman Selayang Jaya bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Leong. Beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang tidak dinamakan juga dijangka hadir.
Semalam, Leong melepaskan jawatannya dalam biro politik PKR sebagai membantah keputusan parti itu meneruskan perbincangan dengan PAS, di sebalik keputusan parti Islam itu memutuskan tahaluf siayasi dengan mereka, awal tahun ini.
Leong, 60, yang juga adalah seorang peguam, turut menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi parlimen Selayang pada pilihan raya umum akan datang.

