Rafizi: Saham syarikat mana punca LTAT hilang RM120j?
Saham-saham syarikat manakah yang dilaburkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sehingga ia kerugian sebanyak RM120 juta, soal naib presiden PKR, Rafizi Ramli.
Katanya, merujuk kepada laporan kewangan LTAT 2016, lembaga itu telah mencatatkan penurunan harga saham sebanyak RM120 juta.
Walau bagaimanapun, beliau berkata tidak jelas saham-saham syarikat manakah yang mendapat pelaburan dana dari LTAT.
"Adalah memalukan kerana pendapatan mereka untuk 2016 adalah (RM811 juta) lebih tinggi daripada pada tahun 2015 (RM767 juta) dan sekiranya bukan kerana kehilangan RM120 juta itu, mereka boleh membayar dividen lebih tinggi," kata Rafizi kepada Malaysiakini.
LTAT membayar dividen dan bonus se3banyak 12 peratus untuk 2016, kadar sama yang dibayar pada tahun 2015.
Dalam satu kenyataan mengenai perkara itu, Rafizi berkata beliau telah mengemukakan soalan parlimen untuk mendapatkan penjelasan saham-saham syarikat manakah yang nilainya terpaksa diturunkan sebanyak RM120 juta.
“Ini yang menyebabkan dividen LTAT kepada pencarum kekal terendah dalam tahun 2016.
“Sehingga kini, soalan saya ini masih belum dijawab oleh Menteri Pertahanan,” katanya.
Sesi Dewan Rakyat lalu berakhir pada 3 Ogos. Kompilasi jawapan bertulis berhubung soalan yang tidak dapat dikemukakan semasa sidang Dewan Rakyat akibat kekangan masa lazimnya dikeluarkan dalam tempoh sebulan selepas sidang terakhir.

