Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini diberitahu urus niaga forex pernah mencecah AS$ 800 juta sehari, iaitu RM2.5 bilion pada ketika itu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh saksi keenam, Fizaman Noor Mohammed Nasir yang bertugas sebagai dealer forex.

Bagaimanapun, semasa memberi keterangan Fizaman berkata kesemua transaksi forex adalah atas arahan bekas penolong gabenor Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Seingat saya, nilai urus niaga tertinggi management position yang pernah saya lakukan dalam satu hari mencecah nilai AS$800 juta. Arahan itu hanya boleh diberikan pihak pengurusan.

"Setiap transaksi pelaburan dilakukan akan mendapat arahan dari Nor Mohamed, bukan memandai-mandai," katanya kepada panel sewaktu RCI urus niaga mata wang asing, di Istana Kehakiman, hari ini.

Fizaman berkata, sebagai peniaga urus niaga mata wang asing, had maksimum untuk beliau lakukan urusan transaksi secara bersendiri setelah pertimbangan dilakukan adalah sebanyak AS$30 juta sahaja.

"Saya sebagai dealer forex  tidak pernah lakukan urusniaga mata wang asing melebihi jumlah maksimum yang dibenarkan kepada saya, sebagaimana yang ditetapkan.

"Dalam kedudukan sebagai dealer position, keputusan sama ada hendak berurusniaga ataupun tidak dibuat oleh dealer sendiri, setelah lakukan pertimbangan kepada analisa. Jumlah transaksi adalah mengikut had ditetapkan.

"Management position pula melibatkan jumlah besar, arahan secara terus dari Nor Mohamed. Dealer akan berikan pandangan pasaran kepada Nor Mohamed sekiranya diminta, namun keputusan dibuat Nor Mohamed sendiri," katanya.

Sebelum itu, penyelaras siasatan Suhaimi Ibrahim sempat mengajukan pertanyaan kepada Fizaman, apakah beliau menyedari pelaburan dilakukan tidak memberi keuntungan dan adakah beliau pernah menasihati Nor Mohamed.

"Bagi tahun 80-an sehingga 1994, saya berpendapat BNM tidak mendapat keuntungan dalam urusniaga forex yang dijalankan, Bagi 'dealer position' yang saya jalankan, memang ada untung tetapi dalam nilai kecil.

"Kami cuba nasihati Nor Mohamed berdasarkan naluri ekonomi dan bagaimana sesuatu perkara itu boleh dipertingkatkan.

"Tetapi, apa yang diputuskan selepas itu bukan keputusan kami. Walaupun suasana ekonomi negatif, keputusan tertinggi adalah dari Nor Mohamed," katanya.

Fizaman berkata, beliau bertugas sebagai peniaga urus niaga mata awang asing di jabatan bank, BNM bermula 1989 hingga 1998.

RCI itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan ditubuhkan untuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian itu disebabkan spekulasi pertukaran mata wang, sama ada aktiviti BNM dalam urus niaga forex bercanggah dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain, dan sama ada wujud cubaan untuk menutup kerugian itu daripada pengetahuan umum.

Ahli panel lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Said, CEO Bursa Malaysia Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Khas untuk Membantu Perniagaan Saw Choo Boon, ahli Institut Akaun Malaysia K Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Yusof Ismail.

Prosiding berhenti jam 4.30 petang dan bersambung 29 Ogos depan.