Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan ​​​​​​Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali bagi ketahui kebenaran, fakta dan sekiranya ia boleh mendatangkan kebaikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Pada masa sekarang, kita menunggu reaksi masyarakat termasuk yang terlibat dalam peristiwa itu sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan muktamad (penubuhan RCI).

“Apa yang Datuk Seri Ahmad Zahid sebut sebelum ini (penubuhan RCI Memali) memang kita tidak tolak, tapi keputusan muktamad bila tiba masanya,” kata Najib yang juga presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam peristiwa Memali pada 19 November 1985, 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap seorang guru, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Pada 20 Ogos, Ahmad Zahid dilaporkan berkata kerajaan sedia menimbang untuk menubuhkan RCI itu sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa peristiwa itu manakala pemimpin PAS dan keluarga mangsa turut ada mencadangkan penubuhannya bagi mendapatkan kebenaran berhubung peristiwa itu.

- Bernama