Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas serbuan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke kampus Universiti Selangor (UNISEL) dan Pejabat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selasa lalu, pemimpin akar umbi Umno sekali lagi tampil membuat laporan kepada badan antirasuah itu.

Kali ini, Pemuda Umno Selangor membuat laporan berhubung status operasi Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) yang didakwa mereka meragukan.

Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Mohamad Fakhzan Md Noor dan Ketua Pemuda Umno Kelana Jaya, Maisham Maarof membuat laporan itu di Ibu Pejabat SPRM Shah Alam kira-kira jam 4 petang tadi.

Mereka mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini menyatakan DEIG tidak akan beroperasi sehingga tahun 2016, meskipun syarikat pelaburan itu pada Jun 2015 telah membuat pernyataan minat (RFI) bagi kerja-kerja pembangunan tanah di Shah Alam, Gombak dan Bukit beruntung dengan nilai hampir RM10 bilion.

"Perkara ini jelas bercanggah dengan kenyataan menteri besar serta menunjukkan bahawa DEIG telah beroperasi.

"DEIG juga pada ketika itu masih lagi merupakan syarikat persendirian dengan modal berbayar hanya RM2.

"DEIG hanya dipindah milik ke MBI penghujung bulan Ogos 2015 setelah isu penubuhannya mula dibangkitkan," kata Fakhzan kepada pemberita selepas membuat laporan selama kira-kira 45 minit.

Mengulas lanjut, Fakhzan berkata kebimbangan mengenai DEIG turut dibangkitkan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berpendapat urusan pentadbiran DEIG kelak tidak akan diaudit dan dilaporkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Fakhzan, keadaan itu berbeza dengan badan pelaburan Selangor yang lain seperti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

"Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Azmin pada ketika itu dilaporkan bercadang memindahkan aset-aset milik kerajaan negeri kepada DEIG dengan jumlah hampir RM30 bilion.

"Dengan ketiadaan akuantabiliti dan DEIG bebas daripada audit oleh DUN Selangor, maka bolehlah diandaikan bahawa aset-aset kerajaan Selangor bakal terdedah kepada risiko penyelewengan serta pelaburan yang salah," kata Fakhzan.

Lihat Komen
ADS