'Kenapa hanya seorang saja Dayak dalam lembaga Petros'
Kenapa syarikat minyak negeri Sarawak yang baru ditubuhkan, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), hanya mempunyai seorang sahaja bangsa Dayak sebagai anggota lembaga pengarahnya, meskipun mereka membentuk kaum majoriti di Sarawak, kata pemimpin akar umbi DAP, Abdul Aziz Isa.
"Komposisi lembaga Petros menunjukkan ketidakseimbangan kaum dan sekali lagi, majoriti kurang diwakili manakala minoriti mempunyai ramai wakil," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Sarawak sentiasa berbangga dengan kepelbagaiannya, tetapi perkara itu tidak boleh dikatakan mengenai perkara yang berkaitan dengan kerajaan.
"Apabila membabitkan perkhidmatan awam negeri, badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ini tidak mencerminkan kepelbagaian yang sama.
"Nampaknya kerajaan negeri hari ini masih meneruskan dasar perkauman, seperti yang diamalkan oleh abang mereka, Umno, di Semenanjung Malaysia," kata Abdul Aziz, yang adalah pembantu kepada pemimpin DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Petros ditubuhkan untuk membolehkan Sarawak terbabit dalam pembangunan minyak dan gas, terutamanya dalam penerokaan dan pengalian di perairan negeri itu.
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Hamid Bugo akan mengetuai Petros.
Ahli lembaga lain adalah Datuk Muhammad Medan Abdullah, Sharbini Suhaili, Zuraimi Sabki dan Heng Hock Cheng.
Walau bagaimanapun, masih terdapat kekosongan utama yang harus diisi, termasuk jawatan ketua pegawai eksekutif.

