Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Quran Hour' peluang budayakan semula al-Quran dalam kehidupan
Diterbitkan:  Aug 26, 2017 12:03 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Penganjuran program ‘World #Quran Hour’ adalah peluang untuk mengembalikan budaya orang Melayu yang pada suatu ketika dahulu amat rapat dengan kitab Al-Quran.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Rahmah Ahmad H. Othman berkata pada waktu dahulu orang Melayu sentiasa menjadikan kemahiran membaca Al-Quran sebagai asas pembentukan anak-anak.

“Dahulu bila pindah masuk sahaja ke kawasan tempat tinggal baharu, perkara pertama yang dicari adalah tempat mengaji Al-Quran.

Walaupun ibu bapa belum tentu pandai baca Al-Quran tetapi kesedaran tentang keperluan anak pandai membaca Al-Quran itu ada,” katanya sewaktu ditemubual dalam rancangan ‘Ruang Bicara’ di Bernama News Channel (BNC) malam tadi.

Mengulas tentang pembudayaan Al-Quran dalam masyarakat hari ini, beliau berkata sudah sampai masa pelbagai pihak berganding bahu mendekatkan semula generasi muda dengan kitab suci ini.

“Dalam gejala sosial yang melanda anak-anak muda kita sekarang, masa mereka kecil sudah diajar membaca Al-Quran tetapi seterusnya apa?

“Remaja yang bermasalah ini selalu dihukum, dihalau dari rumah, dianggap aib keluarga tetapi mungkinkah sebenarnya itu cara mereka cuba mendapatkan perhatian dan meminta tolong?” kata Rahmah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alumni dan Jaringan Global UIAM Prof Madya Dr Che Amnah Bahari memberitahu sudah sampai masa ajaran Al-Quran ‘dibumikan’ dalam kehidupan seharian.

“Contohnya, dalam Al-Quran ada sebut tentang cara menghormati ibu bapa. Persoalannya adakah kita mengamalkannya dalam kehidupan kita dengan urusan seharian yang sibuk? Inilah peluang kita bertadabur iaitu memikirkan dan muhasabah diri kita,” kata beliau.

Penganjuran World #QuranHour oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama UIAM pada 31 Ogos nanti bakal menyaksikan kira-kira 5,000 peserta berkumpul di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM untuk pembacaan seluruh kitab Al-Quran secara berjemaah dan bertadabur.

Pada sebelah malamnya, program Merdeka #QuranHour akan diadakan di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Aktiviti World #QuranHour turut dianjurkan di pelbagai tempat lain di seluruh dunia bersempena wukuf di Arafah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS