Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyarankan pereka cipta memberi tumpuan kepada pensijilan produk mereka, selain mendapatkan harta intelek bagi memasarkan produk mereka.

Menteri berkenaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata usaha itu penting terutamanya ketika memasarkan produk dalam talian.

“Dalam ekonomi digital, anda hanya boleh menjual produk secara maya. Anda tidak boleh menunjukkan produk anda (untuk meyakinkan pembeli), tetapi apa yang anda boleh lakukan ialah dengan menunjukkan pensijilan produk anda,” katanya kepada pemberita selepas menutup Pameran Teknologi Kreativiti dan Inovasi Sabah (SCINTEX) 2017 di Kota Kinabalu, hari ini.

Tangau berkata kementerian melalui Jabatan Standard Malaysia, yang merupakan anggota Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO), akan bertindak sebagai pengawal selia kepada pemberian akreditasi kepada penghasilan sesuatu produk.

Menurutnya akreditasi teknologi penghasilan sesuatu produk, khususnya produk makanan, perlu seiringan dengan pensijilan halal yang menjadi kekuatan Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Pensijilan untuk sesuatu teknologi sangat kritikal dalam pemberian sijil halal kerana ada hubungan dengan sains dan agama,” jelas beliau.

Bagi menyakinkan rakyat terhadap reka cipta negara, Tangau berkata kerajaan menjalankan pelbagai program seperti SCINTEX untuk merakyatkan budaya kreativiti dan inovasi.

“Rakyat harus yakin dan percaya terhadap kemampuan teknologi hasil rakyat sendiri bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Ramai mungkin tidak tahu teknologi galas getah seismik untuk struktur bangunan agar tahan gegaran gempa bumi dihasilkan di negara kita iaitu di Klang dan digunakan di luar negara seperti Hospital California dan bangunan Parlimen New Zealand,” katanya.

-Bernama