Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua juta jemaah dari seluruh dunia tunai haji tahun ini

Kerajaan Arab Saudi dijangka menerima kira-kira dua juta jemaah dari seluruh dunia yang akan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci tahun ini.

Pusat Komunikasi Antarabangsa (CIC) Kementerian Kebudayaan dan Maklumat Kerajaan Arab Saudi berkata sehingga kini, seramai 1.497 juta jemaah sudah berkumpul di kota suci itu sebagai persedian mengerjakan rukun Islam kelima bermula 30 Ogos ini.

Menurut kenyataan CIC hari ini bilangan jemaah haji antarabangsa bertambah saban tahun daripada hanya 24,000 jemaah pada 1941 kepada 1.325 juta orang pada 2016.

"Tahun lepas, seramai 1.86 juta jemaah menjalankan ibadah haji termasuk jemaah dari Arab Saudi," kata kenyataan itu.

Sementara itu, setiap jemaah diberikan lencana yang lengkap dengan nombor dan warna khemah untuk membantu mereka sekiranya tersesat.

"Khemah-khemah disusun secara sistematik mengikut barisan dan dikumpulkan di kawasan yang dilabel dengan nombor dan warna berdasarkan negara asal para jemaah," kata kenyataan itu.

Menurut CIC sebagai langkah mencegah kebakaran, khemah-khemah dibina daripada polimer 'Teflon' bersalut gentian kaca yang dilengkapi dengan sistem pemercik dan alat pemadam kebakaran.

Lebih 17,000 anggota pertahanan awam yang terlatih serta 3,000 kenderaan berteknologi terkini bersediia bagi memastikan keselamatan jemaah di tahap tertinggi.

Selain itu, lebih 2,000 anggota Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi ditugaskan di Makkah, Madinah dan kawasan ibadah lain serta 300 ambulans, 30 motosikal, 113 pusat ambulans dan lapan ambulans udara turut disediakan untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah haji tahun ini.

-Bernama


 

Lihat Komen
ADS