Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Segala tindak-tanduk kumpulan yang menentang kepimpinan PKR di peringkat Kelantan sedang diperhatikan, kata pegawai kanan parti itu.

Katanya, buat masa ini maklumat mengenai mereka dikumpul sebelum tindakan lanjut mengenainya diambil.

Ketua Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa, memberitahu Malaysiakini, jika ada laporan mengenai mereka dibuat, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) akan merujuknya kepada lembaga disiplin.

"Isu yang mereka lakukan adalah jelas. Mereka membuat tuduhan terbuka kepada MPN serta memberikan kenyataan media mengkritik pimpinan parti.

"Mereka juga melibatkan parti rakan dalam isu dalaman," katanya.

Sukirman diminta mengulas perkembangan terkini kumpulan yang tidak sehaluan dengan MPN yang diketuai Az Aziz Ab Kadir ketika ini.

Pada 25 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan salah seorang penggerak utama kempen mengetepikan Ab Aziz, Ahmad Syauqey Abdul Ghani, menyampaikan memorandum kepada pimpinan tertinggi PKR.

Disergah 'gila'

Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, yang hadir mewakili presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Machang.
Bagaimanapun ketika serahan itu dibuat Ahmad Syauqey mendakwa dia disergah dengan perkataan "gila" oleh Ab Aziz.

Pada hari sama Malaysiakini juga melaporkan Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil, Mohamad Roslan Puteh, mengesahkan peletakan jawatannya sebagai timbalan Ab Aziz.

Surat itu, kata Mohamad Roslan, diserahkan ke ibu pejabat PKR pada 16 Ogos lalu.

Sementara itu semalam sebahagian pemimpin kanan PKR Kelantan mengadakan sidang media di Kota Bharu bagi menyatakan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah dan Ab Aziz.

Naib Pengerusi PKR Kelantan, Amran Ghani, berkata parti itu menolak budaya fitnah dan memecah-belah dilakukan oleh kumpulan tidak sependapat dengan mereka.

"Sepatutnya fokus diberikan kepada pilihan raya yang semakin hampir, selain mematuhi arahan dibuat pimpinan dari semasa ke semasa," katanya.

Pecah dua?

Selain Amran, sidang media itu turut dihadiri seorang lagi naib pengerusi, Prof Saharun Ibrahim; Ketua Penerangan, Tarmizi Yusof; Setiausaha PKR Kelantan, Azahar Hassan; Pengarah Pilihan Raya Che Rusli Ismail; Ketua Pemuda Hafidz Rizal Amran; Ketua Wanita Noor Aini Husin; setiausahanya Nor Hidayah Abdullah dan ketua-ketua cabang, selain Sukirman sendiri.

Kata Amran PKR Kelantan juga menolak dakwaan pihak luar yang mendakwa parti itu bergolak atau berpecah kepada dua kumpulan.

"Parti dalam keadaan baik dan pengerusi MPN masih mendapat sokongan majoriti cabang-cabang di seluruh Kelantan," katanya.

Ditanya mengenai kempen menyingkirkan Ab Aziz, Sukirman memberitahu ia tidak menjejaskan PKR Kelantan.

"Anggota akar umbi dinasihatkan tidak terkeliru dengan cubaan segelintir pihak yang berkepentingan untuk memecah-belahkan perpaduan perpaduan parti," katanya.

Mengenai peletakan jawatan Mohamad Roslan, Sukirman berkata PKR Kelantan berharap timbalan pengerusi PKR negeri itu memikirkan tindakannya secara serius.

"Pada dasarnya kami tidak bersetuju dengan peletakan jawatan itu kerana ia dibuat tanpa alasan.

"Bagaimanapun jika itu memang kehendak beliau dan dibuat tanpa paksaan, maka itu adalah hak beliau," katanya.

Lihat Komen
ADS