Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Iraq di landasan tepat untuk bebas daripada IS'

GLOBAL| Iraq sedang mengukuhkan pasukan tenteranya bagi menghapuskan ancaman militan Islamic State (IS)  dan berada di landasan tepat untuk membebaskan negara itu daripada cengkaman kumpulan pengganas terbabit menjelang akhir tahun, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Iraq Hussain Al Shahristani.

Beliau berkata Iraq telah membebaskan lebih 75 peratus daripada negara itu sejak ia memulakan operasi lebih setahun lepas untuk menyerang serangan dilakukan IS, yang telah menduduki wilayah penting di timur laut Syria dan barat laut Iraq sejak 2014.

Shahristani berkata cubaan membebaskan tiga wilayah, antaranya Tal Afar dan Hawija daripada ancaman IS sedang berjalan.

“Semasa kempen ini, pasukan Iraq berjaya menghapuskan kira-kira 28,000 pengganas. Ini adalah jumlah yang sangat ketara dan separuh daripada mereka terbunuh di bandar Mosul.

“Pasukan ini telah berjuang dalam pertempuran yang paling sukar dan sengit sejak Perang Dunia II. Perlindungan terhadap orang awam merupakan keutamaan buat pasukan Iraq,” kata Shahristani semasa sesi plenari Persidangan Pugwash ke-62 mengenai bahaya nuklear pada Ahad.

Pertarungan pasukan tentera menentang kumpulan pelampau itu mendapat sokongan besar daripada rakyat Iraq kerana unit pencegahan keganasan mereka menerima 300,000 permohonan untuk mengisi 3,000 kekosongan dalam pasukan itu.

Pada Ahad, tentera Iraq hampir menawan semula bandar Tal Afar selepas mengusir pejuang IS dari pusat di satu daripada kubu kuat bandar terakhir mereka di negara itu.

“Terdapat kira-kira 4,000 pengganas di tiga kawasan dan walaupun angka rasmi belum diumumkan lagi, dijangka 2,000 daripada mereka akan dihapuskan di Tal Afar, yang membawa jumlah pengganas terbunuh di Iraq kepada 30,000 orang,” kata Shahristani.

Usaha bersepadu diperlukan untuk menghapuskan ancaman IS dan sekutunya daripada terus berkembang, tambahnya.

“Dunia harus sedar bahawa IS dan rakan-rakannya adalah ancaman sebenar kepada semua. Tiada negara perlu menunggu satu daripada bandarnya diserang dan rakyatnya dibunuh bagi memahami keseriusan ancaman ini.

“Tidak cukup sekadar merangka pelan tempatan, malah negara untuk menanganinya. Kumpulan pengganas ini perlu ditentang pada peringkat tempatan hingga ke global, bukan hanya di Iraq, Libya, Afghanistan dan Syria tetapi semua negara yang mana golongan jihad dilatih,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Kazakhstan, Roman Vassilenko berkata negara itu mengenakan hukuman terhadap rakyatnya yang melarikan diri untuk memperjuangkan IS, termasuk melucutkan kewarganegaraan mereka serta menubuhkan badan dasar, Kementerian Hal Ehwal Awam dan Agama untuk menghentikan ideologi ekstremis daripada terus tersebar.

Langkah itu katanya, diwujudkan selepas beberapa siri serangan di negara yang kaya minyak itu tahun lepas.

“Menurut perkhidmatan keselamatan kami, kami mempunyai kira-kira 300 rakyat Kazakhstan yang meninggalkan negara untuk ke Iraq dan Syria. Jumlah ini kecil tetapi telah diambil tindakan.

“Terdapat kes-kes yang mana mereka yang berjuang di sana telah kembali, dan mereka ini ditangkap dan didakwa kerana undang-undang kami memperuntukkan bahawa salah di sisi undang-undang berperang dalam peperangan di luar negara,” katanya dalam temu bual dengan media terpilih di ibu negara Kazakhstan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS