Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Negeri terlepas ke pembangkang kerana pengundi tidak bersyukur'

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kesal beberapa buah negeri jatuh ke tangan pembangkang kerana sikap tidak mengenang budi walaupun kerajaan BN membawakan mereka pembangunan dan pelaburan dari luar.

Tanpa menamakan negeri mana, timbalan pengerusi BN itu berikrar gabungan parti tersebut tidak akan mengulang kesilapan mereka

"Hakikatnya negeri-negeri yang dulunya terlalu kebelakang dari segi pembangunannya," kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Pembangunan Luar Bandar selama dua hari di Kuala Lumpur hari ini.

"Apabila negeri itu muncul sebagai negeri yang maju atau di kawasan dulunya kita yang membangunkan kini lepas kepada orang lain kerana tidak ada keterima-kasihan untuk menjermahkan rasa kesyukuran kepada apa yang kita lakukan," kata beliau.

"Apakah maknanya pemegang jawatan kita dlm organisasi politik, kalau kuasa terletak di tangan org lain?" soal beliau

Beliau menjelaskan hal ini turut berlaku di negara-negara maju lainnya, yang mana Malaysia perlu belajar darinya.

"Kita seharusnya belajar daripada kesilapan mereka untuk tidak berlaku kesilapan yang sama kita.

"Kesilapan kita untuk membawa FDI (pelaburan luar) masuk ke negeri-negeri maju, akhirnya apabila orang lain ambil alih kuasa, sejak kurang dua penggal, mereka (mendakwa) yang bawa FDI, sedangkan kita yang membawa," kata beliau.

Beliau berkata pihak kerajaan akan memikirkan cara untuk menyeimbangkan isu-isu pembangunan dalam menangani kemiskinan bandar dan pembandaran luar bandar.

Dalam pada itu, Zahid turut menyentuh mobiliti bandar di mana 74.7 peratus rakyat Malaysia yang tinggal di bandar pada 2015 akan meningkat sebanyak 85 peratus pada 20150.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkongsi pentas dengan Zahid berkata pihak kerajaan akan membentuk dasar pembangunan luar bandar bagi mengalang tren penghijrahan ke bandar.

"Konvensyen berkenaan dianjurkan bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada berbagai pihak terutamanya dari kawasan luar bandar bagi membentuk Dasar Pembangunan Luar Bandar - Transformasi Nasional 2050," kata beliau.

Beliau berkata pihak kerajaan akan memastikan akses terhadap kemudahan ke semua kawasan luar bandar.

Lihat Komen
ADS