Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah mengeluarkan Writ Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Presiden 2017 yang dikhaskan untuk calon dari komuniti Melayu , menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan itu berkata hari penamaan calon ialah 13 Sept, 2017 di auditorium Persatuan Rakyat, 9 King George's Avenue, di sini.
Kenyataan itu berkata jika lebih seorang calon dicalonkan pada hari penamaan calon, 23 Sept akan diisytiharkan sebagai hari mengundi.
“Setakat ini, ada tiga calon berpotensi yang melahirkan minat untuk bertanding dalam pilihan raya iaitu dua orang ahli perniagaan Mohamed Salleh Marican, Farid Khan Kaim Khan dan bekas Speaker Parlimen Halimah Yacob.
Untuk dicalonkan sebagai calon, bakal calon mesti mengemukakan kertas pencalonan disertakan dengan Sijil Kelayakan; Sijil Komuniti yang mengesahkan bahawa mereka tergolong dalam masyarakat Melayu; dan sijil Derma Politik, kata jabatan itu.
Mohamed Salleh, ketua eksekutif Second Chance Properties, 67, telah mengemukakan permohonannya bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti di Jabatan Pilihan raya pada 23 Ogos.
Manakala pengerusi pembekal perkhidmatan marin Bourbon Offshore Asia Pacific, Farid Khan, 62, telah berbuat demikian pada 24 Ogos.
Sehingga berita ini ditulis, Halimah, 63, belum mengemukakan Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti.
Jabatan berkata permohonan bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti mestilah sampai ke Jabatan Pilihan Raya tidak lewat dari 4 Sept sementara Sijil Derma Politik tidak lewat daripada 9 Sept.
Deposit yang perlu dibayar oleh setiap calon ialah S$43,500 (S$1=RM3.15), kata jabatan.
Tempoh perkhidmatan Presiden Tony Tan Keng Yam berakhir Khamis ini.
-Bernama
