Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sebelum Rafizi, saya dibidas Najib, dipecat Muhyiddin'

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, beliau tidak kisah dengan pihak yang tidak mempercayai kaedah serta kajian yang dilakukan oleh institutnya.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan ahli politik hanya menyukai dapatan kajian yang memihak kepada mereka berbanding dapatan yang sebaliknya.

"Saya tak rasa apa-apa (pihak yang ragui kajian IDE). Sebab sejak saya menjadi pengarah UMCDEL, setiap kali saya keluarkan kajian ada yang tak suka.

"Pada 2013, semasa saya bentang kertas kajian pertama, antara orang yang protes atau nyatakan tidak percaya terhadap kajian saya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Razak).

"Bila berlaku pilihan raya kecil Kajang, saya difahamkan menteri pendidikan waktu itu dan timbalan perdana menteri (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) arahkan saya dipecat dari pengarah UMCDEL.

"Maknanya yang pernah ambil tindakan pada saya ialah perdana menteri, menteri pengajian tinggi dan timbalan perdana menteri. Jadi orang biasa yang komen-komen ini saya tak rasa apalah," katanya kepada pemberita selepas membentangkan hasil kaji selidik Mood Rakyat Menjelang PRU14 di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung pihak yang meragui hasil dapatan kajian yang dilakukan IDE.

Selain itu, ditanya jika IDE ada melakukan kaji selidik berhubung sama ada PKR perlu berunding dengan PAS, Redzuan tidak menafikannya.

Bagaimanapun, katanya kaji selidik itu sangat terperinci dan hasil dapatannya tidak dapat didedahkan atas sebab tertentu.

"Kajian kita menyeluruh. Ada kajian yang saya tak dedahkan kerana orang politik ini mereka suka cerita seronok. (Hasil kajian) ada seronok, ada yang tak.

"Ada yang keluar kenyataan tak sepatutnya kerana tak boleh terima.

"Memang ada (kajian berhubung rundingan dengan PAS). Tapi sangat terperinci sebab bila kita profilkan, kita boleh cerakinkan penyokong parti. Kita boleh tau kalau isu tertentu, bagaimana sokongannya. Sampai begitu. Tapi saya tak nak terlampau kontroversi sebab di Malaysia tak macam di barat (yang boleh terima hasil kajian)," katanya lagi.

Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa, pimpinan PKR yang masih meneruskan rundingan dengan PAS adalah disebabkan dapatan kajian yang dilakukan oleh IDE dan Merdeka Centre.

Menurut Rafizi, beliau melahirkan rasa sangsi terhadap dapatan kajian IDE dan Merdeka Centre kerana tidak pernah melihat data terperinci serta kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang dijalankan.

Lihat Komen
ADS