Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM Thailand nafi bantu Yingluck larikan diri
Diterbitkan:  Aug 30, 2017 6:30 AM
Dikemaskini: 10:59 PM

GLOBAL Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha menolak dakwaan pihak tertentu bahawa beliau mengatur pakatan bagi memudahkan bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra melarikan diri dari negara itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pembabitan pegawai kerajaan tertentu membantu Yingluck berbuat demikian dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Mustahil Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) (membantu Yingluck melarikan diri dari negara itu), melainkan terdapat beberapa 'orang tidak baik’ (pegawai) yang mengetepikan tanggungjawab mereka demi mendapatkan habuan, tetapi kami akan menyiasatnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Bangkok semalam.

Beliau juga memberi amaran bahawa hukuman akan dikenakan terhadap mereka yang didapati membantu Yingluck melarikan diri dari Thailand.

Kerajaan Thailand dikritik termasuk oleh bekas pemimpin pergerakan ‘Baju Kuning’ kerana gagal menghalang Yingluck daripada melarikan diri walaupun mengenakan pengawasan ketat terhadap adik perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, yang kini hidup dalam buangan.

Yingluck, perdana menteri wanita pertama negara itu, didakwa melarikan diri dua hari sebelum beliau dijadual menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat lepas berhubung pertuduhan cuai dalam pelaksanaan skim subsidi padi semasa pentadbirannya. Beliau menafikan tuduhan itu.

Prayut berkata kerajaan telah melancarkan siasatan bagi mengumpul maklumat terperinci tentang perbuatan Yingluck melarikan diri dari negara itu termasuk laluan yang mungkin digunakannya untuk berbuat demikian.

Menurutnya Thailand telah menghubungi bebarapa negara di rantau ini termasuk Kemboja dan Singapura serta Emiriah Arab Bersatu untuk mendapatkan maklumat tentang Yingluck.

Beliau merayu semua pihak supaya bersabar kerana kerajaan masih mengumpul maklumat di sebalik tindakan Yingluck dan menasihati rakyat Thailand supaya tidak sewenang-wenangnya menuduh negara tertentu bersubahat dengan wanita itu kerana ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik Thailand.

Yingluck didakwa meloloskan diri dari negara itu melalui pekan sempadan Thailand, Koh Chang, yang terletak berhampiran sempadan Kemboja dan mengambil penerbangan ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai, di mana abangnya memiliki sebuah rumah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS