Menteri: Peningkatan siasatan kes rasuah kerana kecekapan SPRM
Peningkatan tindakan siasatan kes rasuah melibatkan kalangan pegawai tinggi kerajaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antaranya ekoran kecekapan operasi penguatkuasaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.
Low juga menafikan bahawa peningkatan skandal rasuah melibatkan pegawai-pegawai berkenaan sebagai indikator bahawa rasuah semakin meningkat di negara ini.
"Sehingga kini, tidak wujud indeks yang mengukur perlakuan rasuah di Malaysia atau mana-mana negara di dunia," katanya dalam jawapan bertulisnya bertarikh 7 Ogos kepada soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil).
Yang ada, katanya, hanyalah indeks yang mengukur persepsi atau tanggapan mengenai adanya perlakuan rasuah, iaitu Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
"Peningkatan tindakan siasatan kes rasuah melibatkan ratusan juta ringgit yang membabitkan kalangan pegawai tinggi kerajaan dan pengawai lantikan politik baru-baru ini bukanlan indikator khusus bahawa rasuah semakin meningkat di negara ini.
"Sebaliknya peningkatan tindakan siasatan, tangkapan dan sabitan kes rasuah ini juga boleh disebabkan oleh keberkesanan pendidikan anti rasuah, peningkatan kesedaran dan kerjasama masyarakat serta kecekapan operasi penguatkuasaan," katanya.
Shamsul bertanya sama ada kejadian rasuah melibatkan kalangan pegawai tinggi kerajaan seperti di Melaka dan beberapa negeri lain, menggambarkan bahawa indeks rasuah masih tinggi di Malaysia.

