GLOBAL l Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu melewati ruang negara Jepun sebagai satu tindakan yang "keterlaluan" dan menuntut Pyongyang mengentikan segera tindakan seumpama itu serta menamatkan semua program dan senjata nuklear.

Dalam satu kenyataan semalam, 15 anggota Majlis Keselamatan berkata ia "sangat penting" bahawa Korea Utara - juga dikenali sebagai DPRK - segera mengambil tindakan konkrit untuk mengurangkan ketegangan dan menyeru semua negara melaksanakan sekatan PBB di Pyongyang.

"Majlis Keselamatan selanjutnya mengecam DPRK atas tindakannya yang keterlaluan dan menuntut menghentikan segera semua tindakan seumpama itu. Majlis Keselamatan menekankan bahawa tindakan DPRK ini bukan sekadar satu ancaman terhadap rantau ini, tetapi kepada semua negara anggota PBB," kata pernyataan itu.

Majlis itu juga menyatakan "komitmennya untuk satu penyelesaian politik secara aman dan diplomatik."

Duta Besar AS ke PBB, Nikki Haley memberitahu majlis itu: "Dunia bersatu menentang Korea Utara, tidak ada keraguan tentang hal itu, sudah waktunya bagi rejim Korea Utara mengakui tentang bahaya yang mereka sendiri timbulkan terhadap diri mereka. AS tidak akan membenarkan perbuatan mereka itu berterusan."

Walaupun pernyataan yang dirangka AS itu tidak mengancam untuk mengenakan sekatan baru ke atas Korea Utara, namun Duta PBB di Jepun, Koro Bessho memberitahu pemberita: "Saya tentunya berharap kita akan dapatkan satu resolusi yang kukuh berikut pernyataan ini..."

Diplomat berkata anggota majlis yang mempunyai juasa veto - China dan Rusia - biasanya hanya melihat ujian peluru berpandu jarak jauh atau senjata nuklear, sebagai satu pencetus kepada kemungkinan sekatan PBB selanjut. Korea Utara berdepan dengan sekatan PBB sejak 2006 ekoran program peluru berpandu balistik dan nuklearnya.

Majlis Keselamatan awal bulan ini sebulat suara mengenakan sekatan baru ke atas Korea Utara yang mungkin menyaksikan pengurangan satu pertiga hasil eksport tahunannya sebanyak AS$3 bilion, selepas ia melancarkan dua ujian peluru jarak jauh pada bulan Julai.

Elakkan tindakan provokasi, kata China

Duta Besar China ke PBB, Liu Jieyi menyeru semua pihak untuk "mengelakkan tindakan provokatif yang mungkin memburukkan keadaan serantau."

Duta Besar Russia ke PBB, Vassily Nebenzia memberitahu majlis itu "bahawa tidak boleh ada penyelesaian ketenteraan untuk isu-isu yang melanda Semenanjung Korea."

China dan Rusia menyeru dihentikan penempatan dan penggunaan sistem pertahanan peluru berpandu AS, yang dikenali sebagai Thaad, di Korea Selatan.

Nebenzia menambah bahawa latihan ketenteraan AS dan Korea Selatan perlu dikurangkan.

Mereka juga menentang negara yang mengenakan sekatan unilateral ke atas individu atau syarikat yang dikaitkan dengan Korea Utara. Minggu lalu, Amerika Syarikat menyenaraihitamkan 16 syarikat China dan Rusia dan Singapura serta individu kerana berdagang dengan entiti Korea Utara yang diharamkan. [Baca berita penuh] - Reuters

Sementara itu, Malaysia juga mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.

Bernama melaporkan Kementerian Luar dalam kenyataan malam tadi berkata tindakan provokatif itu merupakan pencabulan jelas terhadap terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Menurut kementerian, tindakan Korea Utara itu juga sebagai tindak balas kepada latihan pertahanan bersama Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang diadakan secara tahunan.

"Tindakan Korea Utara ini hanya akan mengeruhkan ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea dan melengahkan usaha masyarakat antarabangsa mengurangkan ketegangan dan mencari keamanan di rantau itu," kenyataan itu.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua pihak supaya mengawal tindakan masing-masing serta menekankan kepentingan untuk mewujudkan keadaan yang kondusif bagi dialog.

Kementerian Luar menyatakan Malaysia juga menggesa Korea Utara supaya menghentikan sebarang pelancaran peluru berpandu, menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistik serta mematuhi sepenuhnya obligasi di bawah resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan demi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Media melaporkan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dipetik sebagai berkata bahawa Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu balistik dan ia memasuki daerah Tohuku di utara Jepun.