Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir tidak mengiktiraf pelantikan ketua Pemuda PKR (AMK) negeri yang baru Mohd Khairul Amin Abd Rahman.

Ab Aziz malah melantik penyandang jawatan itu yang dipecat Mohd Hafidz Rezal Amran sebagai penyelaras AMK Kelantan.

Dalam kenyataannya hari ini, Ab Aziz berkata beliau terkejut dan kesal dengan pemecatan Hafidz dan turut berpendapat ia tidak dibuat melalui proses wajar dan demokratik oleh Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seperti Hafidz, Ab Aziz turut membangkitkan perkara 14.4 Peraturan Tetap AMK yang menurutnya menyebut lantikan ketua AMK negeri hendaklah dirunding bersama ketua-ketua AMK cabang dan pengerusi negeri.

“Malangnya YB Nik Nazmi telah gagal melaksanakan proses ini.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini tidak mengiktiraf pelantikan ketua AMK Kelantan yang baru,” katanya.

Ab Aziz juga berkata lantikan Hafidz sebagai penyelaras AMK Kelantan itu susulan “semangat daripada pelantikan YB Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai koordinator AMK di peringkat pusat oleh Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Pemecatan Hafidz Isnin lalu membuka ke episod baru terhadap kemelut dalaman PKR Kelantan susulan perbezaan pendirian berkaitan kerjasama dengan PAS.

Hafidz antara pemimpin negeri yang mendukung kerjasama PKR-PAS walaupun hubungan rasmi kedua-dua parti sudah dibatalkan.

PKR Kelantan antara yang paling terkesan dengan isu kerjasama dengan PAS kerana ahli-ahli majlisnya terpaksa melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri.