Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyusunan semula: Saham AirAsia susut satu sen
Diterbitkan:  Aug 30, 2017 1:57 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Saham AirAsia Bhd (AAB) susut satu sen semasa sesi pagi hari ini selepas digantung pada sesi petang Selasa susulan pengumuman pelan penyusunan semula organisasi dalaman dan cadangan pemindahan status penyenaraian kepada sebuah syarikat baharu.

Pada 12.02 tengah har ini, jumlah dagangannya sebanyak 12.79 juta saham pada RM3.32 seunit.

Syarikat penerbangan itu telah mengumumkan penyusunan semula dalaman yang melibatkan pertukaran keseluruhan modal saham terbitannya bagi saham biasa dalam syarikat baharu, AirAsia Group Bhd.

Ia turut mengumumkan pemindahan status penyenaraiannya, yang dijangka selesai pada suku pertama 2018.

Dalam kenyataan yang dikemas kini, AAB dan unit milik penuhnya, AirAsia Investment Ltd, telahmelaksanakan beberapa perjanjian untuk melupuskan sebahagiannya, dan kemudian menukar pelaburan sekuriti kekalnya dalam PT Indonesia AirAsia kepada saham baharu dalam PT Rimau Multi Putra Pratama TBK.

AAB juga memaklumkan ia telah menyediakan bantuan kewangan, dalam bentuk pinjaman sebanyak US$6 juta (RM25.58 juta) kepada PT Indonesia AirAsia.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga mengeluarkan keputusan prestasi kewangannya, dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 52.4 peratus kepada RM386.8 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2017 berbanding RM253.81 juta semasa suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes menerusi catatan di Twitter hari ini berkata, beliau amat gembira dengan prestasi AirAsia itu.

“Semua syarikat penerbangan di ASEAN merekodkan keuntungan, hasil meningkat dan kos berkurangan,” menurutnya dalam catatan di media sosial tersebut.

Sementara itu, kebanyakan firma penyelidikan mengekalkan saranan mereka ke atas AAB.

Hong Leong Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan “beli” ke atas AirAsia namun harga sasaran disemak semula kepada RM4.10 daripada RM3.82 memandangkan syarikat penerbangan itu kekal pada trajektori pertumbuhan berdasarkan perluasan kapasiti kukuh, faktor muatan yang tinggi dan kos rendah bagi bahan api pesawat.

Public Investment Bank turut mengulangi saranan “neutral” kepada syarikat itu dengan harga sasaran RM3.19.

- Bernama

Lihat Komen
ADS