Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petrol, diesel naik di malam merdeka
Diterbitkan:  Aug 30, 2017 5:29 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Harga minyak sekali lagi meningkat untuk minggu mendatang apabila kerajaan mengumumkan kadar baru bermula tengah malam nanti.

Bagi petrol RON95 harga baru mulai 31 Ogos ialah RM2.16 seliter, manakala RON97 menjadi RM2.44 seliter.

Perubahan itu mencatatkan peningkatan 1 sen bagi setiap liter berbanding minggu lalu.

Bagaimanapun pola sebelum ini untuk diesel berubah. Jika Rabu lalu harga bahan bakar itu ditetapkan pada RM2.01 seliter, mulai tengah malam ini ia dijual pada kadar RM2.04 seliter - atau bertambah sebanyak 3 sen.

 

 

 

Kos yang dikeluarkan pengguna untuk membeli petrol sentiasa bertambah secara konsisten sejak 27 Julai lalu, dengan pengecualian untuk tempoh 24 hingga 30 Ogos apabila ia harganya tidak berubah berbanding minggu sebelumnya.

Untuk diesel pula, minggu terbaru mulai 31 Ogos akan mencatatkan peningkatan selepas harganya turun minggu-minggu lalu.

Kali terakhir harga minyak turun adalah bagi tempoh 22 hingga 28 Jun lalu dan disambut dengan kelegaraan orang ramai, terutama kerana berlaku semasa orang ramai melakukan banyak perjalanan sempena hari raya puasa.

Untuk rekod umat Islam di negara ini akan meraikan hari raya haji lusa.

Kerajaan mula menetapkan harga minyak ditentukan secara mingguan sejak 30 Mac lalu.

Lihat Komen
ADS