Sambut merdeka, Aidiladha dengan jiwa antirasuah
Pembangunan dinikmati negara ini sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu boleh lumpuh dan musnah dengan adanya amalan rasuah serta salah guna kuasa, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad malah menegaskan makna sebenar merdeka ialah membebaskan diri daripada cengkaman budaya yang boleh menghancurkan pembangunan insan dan negara.
Dalam kenyataan sempena sambutan memperingati hari kebangsaan yang ke-60 esok dan hari raya haji pada Jumaat, Dzulkifli menyarankan tiga teras untuk dihayati orang ramai.
"Justeru saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memerdekakan jiwa daripada ketamakan dan kecintaan pada harta yang bukan dan tidak sepatutnya menjadi milik kita," katanya.
Dzulkifli juga mengajak orang ramai supaya memerdekakan keluarga masing-masing daripada rezeki yang diperolehi secara haram melalui rasuah dan salah guna kuasa.
Tidak ketinggalan beliau sekali lagi menyeru masyarakat menghayati makna merdeka dengan berani berkata "tidak" kepada rasuah dan salah guna kuasa.
"Setiap warga Malaysia perlu memahatkan semangat patriotisme yang tinggi dan tidak goyah dengan ketamakan duniawi serta terjerumus ke dalam kancah jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
"Seluruh rakyat Malaysia seharusnya mengecap erti kemerdekaan yang sebenar dan berganding bahu membawa Malaysia ke mercu kejayaan dengan membina bangsa dan negara yang bersih daripada anasir rasuah," katanya.
Dzulkifli turut menjelaskan sambutan Aidiladha menjadi bermakna apabila orang yang meraikanya memahami makna lebih luas mengenai pengorbanan.
"Untuk melakukan pengorbanan, setiap insan perlulah mempunyai ketabahan dan jati diri yang kuat bagi membangunkan negara tanpa terjerumus ke dalam belenggu rasuah yang akhirnya akan memusnahkan diri, keluarga dan negara.
"Aidiladha kali ini perlu dijadikan titik tolak untuk kita mengorak langkah serta terus komited berjuang menentang kemungkaran jenayah rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

