Penutupan jambatan Sultan Yusuf dilanjutkan
Penutupan Jambatan Sultan Yusuf, yang menghubungkan Teluk Intan dan Manjung, dilanjutkan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan hari ini berkata lanjutan tempoh itu diperlukan kerana penilaian struktur jambatan mendapati struktur di satu rentang jambatan perlu diperkukuhkan lagi bagi memastikan integriti struktural disahkan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Kerja pengukuhan struktur itu dijangka mengambil masa empat bulan. Sehubungan itu,semua pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif ke Manjung dan Sitiawan serta ke Teluk dan Sabak Bernam,” kata kenyataan itu.
Pengguna lebuh raya PLUS dari arah selatan boleh menggunakan laluan keluar tol Simpang Pulai-Batu Gajah-Bota (FT005) manakala pengguna dari arah utara boleh menggunakan laluan keluar Ipoh Utara-Jelapang-Pusing-Bota (FT005).
Bagi maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pejabat Jurutera Daerah Hilir Perak di talian 05-6221166 atau menerusi laman sosial Facebook, JKR Hilir Perak atau JKR Perak dan Twitter@JKR_Hilir Perak atau Twitter@JKRPerak.
-Bernama

