Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia halang pengerusi suruhanjaya hak asasi Filipina masuk
Diterbitkan:  Sep 1, 2017 9:17 PM
Dikemaskini: Sep 2, 2017 2:25 AM

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina Chito Gascon dihalang pihak imigresen KLIA daripada memasuki Malaysia.

Pengurus Sekretariat Bersih, Mandeep Singh menulis di Twitter berkenaan perkara ini.

Chito datang ke Malaysia atas undangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Kofi Anan Foundation untuk hadir ke sebuah persidangan di ibu negara.

Menurut catatan Twitter Mandeep itu lagi, Chito diberitahu bahawa beliau tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana beliau pernah terlibat dalam perhimpunan haram dan sidang akhbar anjuran Bersih.

Gascon, seorang aktivis hak asasi manusia Filipina yang terkenal dijadualkan berucap untuk persidangan mengenai demokrasi di Asia Tenggara pada Ahad ini.

Tidak jelas kenapa Gascon dihalang daripada memasuki Malaysia. Malaysiakini cuba menghubungi pihak Suhakam bagi mendapatkan maklum balas.

Berdasarkan pada agenda sidang yang sepatutnya dihadiri Gascon itu, beliau disenaraikan sebagai panelis dalam sesi berjudul "Key role of Civil Society Organization's in ensuring respect for political rights including elections".

Panelis lain yang dijangka berucap ialah Presiden Institut Integriti Malaysia Anis Yusal Yusoff dan timbalan pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari. Sesi tersebut akan dikendali moderator Kyaw Yin Hliang dari Myanmar's Center for Diversity and National Harmony.

Persidangan itu menampilkan tetamu besar rantau ini seperti bekas setiausaha agung Asean Surin Pitsuwan, pengasas Gusdurian Network Indonesia Dr Alissa Wahid dan ketua Komisi Pemilihan Umum Indonesi Hasyim Asy'ari.

Ia dijadualkan untuk dibuka oleh bekas presiden Indonesia Susilo Bambang Yudyuno manakala bekas presiden Belgium Yves Leterme juga akan menyampaikan ucapan pembukaan.

Sidang dua hari itu akan bermula esok.


 

Lihat Komen
ADS