Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN| Ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) wujud di Perak, peranan mencari ahli telah diamanahkan kepada Datuk Hamidah Osman dan dibantu oleh saya sebagai pendaftar BERSATU negeri Perak.

Pada peringkat awal BERSATU telah mendapat sambutan yang hebat dikalangan rakyat untuk menyertai BERSATU sehinggakan Umno merasa amat tercabar dengan kewujudan BERSATU di negeri Perak.

Sehinggalah pada bulan Disember 2016, Perak merupakan negeri yang ketiga berjaya mengumpulkan keahlian yang teramai .

Setelah berjaya mengumpul keahlian yang ramai, Datuk Hamidah Osman yang juga dilantik sebagai ketua penyelaras BERSATU negeri Perak diamanahkan sekali lagi untuk menyusun jawatankuasa BERSATU di 24 bahagian di seluruh negeri Perak.

Sekali lagi saya turut membantu, sehinggalah BERSATU berjaya mewujudkan 24 bahagian di Perak pada bulan Mac 2017.

Ketika itu, saya sendiri telah mencadangkan kepada Hamidah Osman supaya meletakkan Faizal Azumu di mana-mana bahagian sebagai ketua bahagian.

Awalnya tolak jawatan

Pada mulanya diletakkan di Kuala Kangsar namun ditolak oleh Faizal Azumu dengan alasan sibuk di Kuala Lumpur dengan tugas-tugasan lain.

Selepas itu dicadangkan beliau memegang jawatan ketua bahagian Ipoh Barat namun ditolak kerana ahli tidak ramai dan akhirnya Faizal Azumu bersetuju ke Tambun yang mana jawatan itu ditawarkan oleh saudara Mubin Salleh setelah saudara Asmadi mengundurkan diri sebagai ketua bahagian Tambun.

Ketika itu, saya agak terkejut dengan penerimaan jawatan tersebut oleh saudara Faizal Azumu, walhal pada peringkat awal beliau menolak untuk memegang apa apa jawatan di mana-mana bahagian di Negeri Perak.

Ketika saya bersama Datuk Hamidah Osman menghantar senarai jawatankuasa bahagian kepada Setiausaha Agung BERSATU di ibu pejabat parti itu di Damansara pada bulan Januari 2017, kami terserempak dengan saudara Faizal Azumu dan ketika itu beliau memang langsung tidak mengendahkan perkembangan BERSATU di Negeri Perak.

Walhal ketika itu saya bersama Hamidah Osman bertungkus lumus untuk memastikan bahagian-bahagian BERSATU di Perak di wujudkan dengan kadar segera.

Untuk pengetahuan semua, saudara Faizal Azumu tidak pernah mengambil peduli tentang BERSATU Perak dari awal kewujudan sehinggalah beliau di lantik sebagai pengerusi BERSATU Perak pada awal April 2017.

Sehingga ke hari ini beliau jarang mengambil tahu hal ehwal dan permasalahan di setiap bahagian.

Surat bantahan

Rakan-rakan lama saya yang masih di dalam BERSATU sering mengadu akan perpecahan dalaman dan sikap tidak peduli Faizal terhadap pemimpin BERSATU negeri Perak .

Ketika perlantikan Ahmad Faizal Azumu di peringkat awal dahulu, telah berlaku bantahan daripada 16 ketua-ketua bahagian BERSATU Perak termasuk ketua Armada (sayap pemuda) Mubin Salleh dan penyelaras Srikandi negeri, keseluruhannya 18 orang (salinan surat bantahan ada pada saya) dan dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sesalinan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta setiausaha agung BERSATU.

Sehingga hari ini bantahan kami langsung tidak dilayan dan tiada jawapan bertulis daripada mereka.

Selepas menghantar bantahan bertulis, 16 ketua bahagian BERSATU juga telah membuat pertemuan dengan Dr Mahathir di Pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana sehari selepas diumumkan Faizal Azumu dilantik sebagai pengerusi BERSATU negeri Perak dan kami telah mengemukakan tentang bantahan terhadap perlantikan Faizal Azumu.

Pada hari yang sama saya juga telah menghantar mesej kepada Faizal Azumu bahawa kami ingin membuat pertemuan antara ketua-ketua bahagian BERSATU Perak bersama saudara Faizal.

Pada awalnya beliau setuju untuk hadir namun pada keesokan harinya beliau memaklumkan beliau tidak akan hadir pada pertemuan tersebut dan katanya pertemuan hanya akan berlaku setelah mesyuarat jawatankuasa BERSATU negeri dijalankan. Begitulah sombongnya Faizal.

'Api dalam sekam'

Dengan tindakan membatalkan pertemuan tersebut, ia membuktikan bahawa beliau tidak cukup berani dan begitu sombong untuk berdepan dengan ketua-ketua bahagian BERSATU ketika itu.

Juga saya ingin memaklumkan perlantikan Faizal Azumu sebagai Pengerusi BERSATU Perak adalah atas pilihan Muhyiddin dan setelah berlaku bantahan.

Presiden BERSATU itu juga tidak bertanggungjawab dengan membiarkan BERSATU Perak terus bercelaru sehingga ke hari ini.

Di peringkat awalnya Hamidah ketika mesyuarat majlis presiden BERSATU memohon Muhyiddin bertemu dan berbincang dengan ketua-ketua bahagian BERSATU Perak bagi memaklumkan perlantikan Faizal Azumu.

Ini disebabkan Hamidah sudah dapat menghidu penolakan Faizal sebagai ketua BERSATU negeri Perak.

Namun Muhyiddin membiarkan begitu sahaja malahan tidak mengendahkan permintaan dan cadangan Hamidah untuk menjernihkan pergolakan BERSATU negeri Perak.

Untuk pengetahuan semua, sehingga hari ini masih ada kumpulan ketua-ketua bahagian BERSATU negeri Perak sedang cuba mendapatkan tarikh untuk bertemu Mahathir bagi meneruskan bantahan terhadap pelantikan saudara Faizal sebagai pengerusi badan pimpinan negeri Perak.

Akhir kalam, saya menyatakan di sini bahawa saya langsung tidak bersetuju dengan perlantikan Faizal Azumu sebagai Pengerusi HARAPAN kerana saya bimbang kerahsiaan Pakatan Harapan mudah bocor.

Ini kerana beliau merupakan menantu Datuk Radzi Manan iaitu ketua bahagian Umno Kampar merangkap pengerusi biro latihan BN Perak dan abang ipar kepada Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang merupakan Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Komunikasi negeri Perak.

Saya bimbang dengan tindak tanduk Faizal Azumu yang mungkin akan menjadi api dalam sekam kepada Pakatan Harapan .

 



AZRUL SUHADI ialah bekas pendaftar BERSATU negeri Perak.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS