Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dalam banyak-banyak tugas yang diserahkan kepada PKR, tugas paling berat yang diberikan oleh majlis kepimpinan Pakatan Harapan adalah supaya parti itu menggempur kubu kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 akan.

Justeru, ramai yang tertanya-tanya mengapa PKR diberi tanggungjawab itu.

Bagi mereka, selain adalah kubu kuat Umno yang sebahagian besar kerusi terdiri di kawasan peneroka Felda, pilihan lebih bijak adalah menyerahkan tugas itu kepada parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Namun menurut sumber HARAPAN yang bercakap dengan Malaysiakini, BERSATU tidak begitu berminat dengan Pahang.

Institut penyelidikan bebas, Ilham Centre sebelum ini melporkan bahawa BERSATU mempunyai kehadiran yang sangat terhad di kawasan Felda di Pahang, dan isu-isu yang ditimbulkan parti itu tidak mendapat sambutan peneroka.

Oleh itu, menurut sumber berkenaan, tugas merampas Pahang diserahkan kepada PKR yang akan diterajui oleh Anggota Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang adalah pemimpin kanan pembangkang.

Buat kejutan

Dengan usaha dan gerakan Najib sekarang yang cuba menyatukan sokongan peneroka Felda dan pengundi Melayu di luar bandar, merampas Pahang dari BN bukannya sesuatu yang mudah.

Namun, bagi Fauzi (foto, kanan), beliau yakin bahawa walaupun HARAPAN mungkin tidak mampu menawan negeri ini, tetapi mereka masih boleh melakukan beberapa kejutan.

"Kita mungkin boleh menafikan mereka majoriti dua pertiga di DUN negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Dengan memiliki hanya 12 daripada 42 kerusi DUN negeri, ramai yang beranggapan pembangkang tidak sekuat mana di Pahang.

Walau bagaimanapun, pemerhatian lebih teliti akan menunjukkan bahawa pembangkang sebenarnya semakin mendapat sokongan, setelah berjaya mengurangkan kerusi BN di Pahang daripada 37 pada tahun 2008 kepada 30 pada tahun 2013.

Berdasarkan data pilihan raya negeri, terdapat 27 kerusi negeri di kawasan Felda, Pahang.

Jika HARAPAN mampu memastikan pertandingan satu lawan satu dan meraih 10 peratus undi BN, maka mereka akan berjaya menawan lima kerusi iaitu Dong, Tahan, Panching, Luit, dan Lanchang.

Manakala itu, perubahan 10 peratus sokongan BN kepada HARAPAN akan menyaksikan pembangkang menawan kerusi Parlimen - Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Bentong dan Bera.

Namun, perlu dinyatakan bahawa Dong, Tahan, Panching, Luit, Lipis dan Jerantut adalah kerusi yang sebelum ini diwakili oleh calon-calon PAS yang sebelum ini adalah sekutu Pakatan Rakyat yang kini sudah terkubur.

Perpecahan pembangkang akan menyaksikan BN mengekalkan kerusi-kerusi ini, dan sekali gus merampas semula kerusi yang kini dimiliki mereka.

Kerjasama dengan Warisan

Sementara itu, selain Pahang, PKR juga telah ditugaskan untuk memimpin jentera HARAPAN di Negeri Sembilan, Selangor, dan Sabah.

Malaysiakini difahamkan bahawa Melaka, Negeri Sembilan dan Perak adalah negeri terakhir yang mana pengerusi HARAPAN diputuskan.

Menurut sumber, atas semangat membahagikan negeri-negeri secara sama rata, mereka memutuskan bahawa BERSATU akan mengetuai di Perak, PKR di Negeri Sembilan dan AMANAH di Melaka.

Menurut sumber, PKR menjadi pilihan di Negeri Sembilan memandangkan Aminuddin Harun, yang dipilih sebagai pengerusi HARAPAN sudah mempunyai pengalaman menjadi wakil rakyat selama dua penggal.

Sumber itu juga berkata di Sabah, PKR akan bekerjasama rapat dengan Parti Warisan Sabah (Warisan), yang menerajui usaha pembangkang untuk menumbangkan BN.

"Kami bekerja rapat dengan Warisan, dan rundingan kerusi hampir selesai," kata sumber itu.

Selangor tidak jelas

Sementara, Selangor adalah salah satu daripada dua negeri yang HARAPAN yakin dapat dipertahankan.

Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diserahkan amanah untuk memastikan negeri itu kekal milik mereka.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan PKR akan menjejaskan peluang HARAPAN untuk mengekalkan kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu, satu lagi parti komponen Harapan, DAP, telah ditugaskan untuk mengekalkan kubu kuat mereka di Pulau Pinang.

DAP juga diamanahkan untuk mengetuai kempen HARAPAN di Kuala Lumpur dan Sarawak.

Walaupun Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mudah dipertahankan, keadaan di Sarawak adalah berbeza.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, DAP hilang lima kerusi negeri kerana bertembung dengan PKR di enam kerusi selepas rundingan mereka berakhirnya dalam kebuntuan.

Namun PKR dan DAP Sarawak dikatakan telah menjalinkan semula hubungan dan mencapai kesepakatan mengenai agihan kerusi menjelang pilihan raya parlimen yang akan datang.

Lihat Komen
ADS