Paling Popular
Terkini

ULASAN l Mengamalkan kepercayaan di Malaysia sangat sukar.

Pertama, kerana faktor kekuasaan. Kedua, akibat sikap beragama pengamalnya. Sebanyak manapun agenda agama yang rancak dikembangkan, ia tidak ubah mengulangi masalah prinsip - sikap fanatik dalam keimanan yang nyata mengotori ajaran Islam sejati.

Beberapa prinsip dasar dalam beragama sentiasa dirobek. Ini sesungguhnya mengganggu pilar sosial dalam kehidupan plural termasuk soal kebebasan dan keyakinan peribadi.

Sedangkan, konsep al-Quran punya kaitan langsung dengan fitrah manusia. Secara tegas al-Quran menyebut: "tiada paksaan dalam beragama" (al-Baqarah : 257).

Maknanya, seseorang tidak boleh dicabul haknya untuk berkeyakinan dalam beragama atau memilih untuk tidak beragama.

Mengutip pandangan Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zhilal al-Quran, beliau menyatakan ayat tersebut adalah manifestasi kasih sayang Tuhan terhadap manusia; sebagai tanda penghormatan ke atas hak autonomi pilihan individu dalam hal petunjuk.

Pendapat lain umpamanya al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan pula menyebut Rasulullah tidak pernah memaksa ahli kitab (Yahudi, Kristian, Zoroster) untuk menerima Islam, malah pernah memaafkan perbuatan memaksa kaum musyrik (penyembah berhala) Arab dalam memaksa golongan murtad untuk menerima agama Islam.

Ada satu lagi kisah tentang seorang muslim dari suku Salim ibn Awf di Madinah. Kedua-dua puteranya memeluk Kristian sebelum Islam didakwah. Ketika mengunjungi bapa mereka di Madinah, mereka diminta memeluk Islam tetapi ajakan itu ditolak.

Maka ayahnya bertemu Rasulullah lalu diceritakannya tentang keengganan kedua-dua anaknya memeluk Islam. Lalu turunlah ayat ke-257 surah al-Baqarah tadi.

Perkara ini juga disetujui Zamakhsyari iaitu mufassir Mu’tazilah yang menulis kitab al-Kassyaf, bahawa Tuhan tidak menerima keimanan secara paksaan dan kekerasan sebaliknya melalui fitrah dan pilihan bebas.

Muhammad Asad, pemikir Islam terkenal dalam The Message of the Qur'an, menjelaskan kalimat "din" dalam ayat itu bermaksud keyakinan. Yang dimaksudkan dengan "tiada paksaan dalam beragama", Asad menerangkan ikrah itu tentang keyakinan atau agama.

Seluruh ahli hukum Islam tanpa berkecuali berpendapat, menukar agama kerana paksaan tidak sah dan terbatal. Bagi Asad, perbuatan memaksa orang yang tidak beriman agar memeluk Islam adalah dosa besar.

Kekerasan dalam beragama

Abdullah Yusuf Ali, penterjemah al-Quran ke dalam bahasa Inggeris yang paling dikenali melalui The Religious Polity of Islam memuatkan beberapa catatan penting.

Beliau mendefinisikan bahawa pemerintahan Islam awal bersikap adil dan tidak terpaku pada bentuk kekerasan tertentu.

Meskipun catatan sejarah menggambarkan kehidupan sosio Arab yang hidup dalam suasana fanatik kelompok mahupun keimanan, tugas para nabi adalah menolak sistem atau ajaran yang mementingkan kesukuan kelompok tertentu.

Bagi Yusuf Ali, beberapa aspek Islam itu sendiri merupakan agama rakyat, tanpa pendeta yang ditasbih atau memiliki hak istimewa.

Tafsiran ini bermakna urusan peribadi dalam beragama atau berkepercayaan dengan soal kenegaraan adalah perkara yang harus dipisahkan.

Tugas penguasa menerima nasihat dan tidak bertindak melampaui batas kekerasan. Ia selari dengan prinsip al-Quran (ali-Imran : 159).

Perkara ini dibuktikan Rasulullah yang mengamalkan musyawarah dalam setiap keputusan. Musyawarah adalah salah satu sistem tradisi yang diamal baginda nabi bagi menjamin pemahaman sosial secara kolektif.

Mengikut catatan prinsip garis politik, ada perkara yang cuba disampaikan Yusuf Ali tentang hubungan sosial dan pemerintah yang berkuasa.

Beliau cuba menampilkan Islam atau agama yang percaya diri dan memandang ke hadapan.

Namun dalam rentas sejarah peradaban, beliau sedar berlaku kehilangan beberapa prinsip dasar dalam beragama. Paling mustahak adalah hal sosio-politik, budaya dan kerelevanan syariat dalam tataran kehidupan.

Pertikaian bukan akidah

Namun, menghasilkan pandangan moden tidak semudah itu. Peristiwa 1043, terdapat tulisan yang menyebarkan sebuah kritik terhadap Paus di Roma.

Peristiwa dalam sejarah Kristian itu dianggap sebagai pemisahan atau perpecahan yang besar Gereja Timur. Pergaduhan dan pergolakan dalam sejarah Paus berlarutan kepada pengikutnya hingga peristiwa itu akhirnya membawa kepada saling kafir-mengkafir. Namun tradisi ini juga ada dalam sejarah umat Islam.

Sejarawan Will Durant menyebut masalah ini berpunca daripada pertikaian kepentingan politik berbanding pertikaian akidah (Durant, 1950:544).

Akibatnya, tafsiran sifat sebenar agama diselewengkan bersifat politik dan menghasilkan polemik fanatisme saling mengkafirkan hingga hilang kesatuan dan jauh daripada sikap non sektarian.

Sikap tidak moderat, suka kafir-mengkafir, mengganggu kehidupan beragama, sebenarnya mengotori ketulenan Islam yang disampaikan daripada Rasulullah dan para sahabat.

Hal ini tidak dapat merealisasikan keimanan murni yang diajar baginda. Disebabkan pelaku agama tidak mampu berfikir secara moderat, maka berlaku pertentangan antara agama dan dalam kehidupan beragama yang sama.

Hal keadaan itu berlaku di Eropah Barat ketika gareja Katolik menjatuhkan hukum murtad kepada mereka yang memiliki pemikiran berkaitan alam. Sesiapa yang bertentangan dengan hukum agama, dihukum mati.

Model berfikir rasional ditentang dan budaya fanatik dipupuk. Maka dalam Islam, pelanggaran segala aspek moral, agama dan hak manusia adalah perkara merugikan dalam mewujudkan keadilan dan kesetaraan dalam masyarakat.

Islam relevan sampai bila-bila

Jadi, prinsip agama mudah dicabul dan masalah berfikir keagamaan berputar-putar tanpa henti. Kerelevanan agama mesti dibuktikan dengan cara berfikir yang tarjih, beramal dengan prinsip ketulenan ajaran Islam sebenar.

Perbezaan dalam masalah pokok harus dirincikan dalam beberapa perkara. Contohnya, agama tidak terjadi dalam keadaan bertentangan dengan hukum alam yang menyalahi akal manusia.

Kerelevanan dalam beragama tidak mungkin terjadi tanpa sikap kritis dan pertimbangan dalam dunia moden hari ini.

Contoh mudah, ijtihad tidak terbangun secara terburu-buru tanpa keseimbangan yang tidak mendatang keburukan. Islam tidak terbangun melalui kritik aqli ke atas naqli; begitu juga kritik naqli ke atas aqli. Selagi tidak mendatangkan kerosakan umat, di situlah hukum harus ditafsir.

Kerelevanan itu muncul di tengah-tengah daya intelektual dan bersebati dengan kemodenan tanpa mengabai prinsip ajaran tersebut.

Dalam buku Islam at the Crossroads, Asad menulis:

"Tidak dapat dinafikan bahawa dalam tahap kemerosotan sekarang, suasana keagamaan dalam kebanyakan rumah orang Islam adalah amat rendah dengan intelektual yang punah. Hal ini mencetuskan insentif pertama untuk memalingkan seseorang pemuda yang sedang membesar daripada agama.’’ (Islam di Persimpangan Jalan, terjemahan IRF)

Pesan Asad ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana sikap kita terhadap pengetahuan moden yang berkembang pantas. Persoalan Asad sekali gus mahu memastikan Islam tidak terasing dengan keimanan, malah menjadi agama yang mendukung kehidupan sejahtera, damai dan bebas menganuti segala kepercayaan.


MOHD SYAZREEN ABDULLAH bekas penuntut pengajian syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Beliau juga penulis buku Bercakap Dengan Quran.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS