Paling Popular
Terkini

“Kami Minta Maaf!” kata penerbit theindependent.sg, atau TISG.

"Kami memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang berkenaan susulan penderitaan dan kesedihan akibat daripada insiden ini,” menurut notis yang dimasukkan dalam laman sesawang TISG dan dilihat lebih 100,000 kali.

Notis itu menggantikan artikel asal bertajuk "warga Singapura berusia 25 tahun meninggal dunia selepas hospital Malaysia menuntut bayaran tunai sebelum rawatan" yang disiarkan pada 31 Ogos.

Ia dipercayai merupakan respons TISG kepada reaksi Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap artikel itu.

Kementerian itu berkata surat rasmi akan dihantar kepada kerajaan Singapura berikutan rasa tidak puas hati berhubung tindakan portal berita dalam talian republik itu yang menyiarkan laporan tidak asas berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan petugas perubatan di Malaysia.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata pada Sabtu, surat itu akan diserahkan tidak lama lagi selepas perbincangan diadakan bersama pasukan guaman kementerian itu, dan Kementerian Luar.

"Surat kepada kerajaan Singapura itu akan menyatakan perasaan dan pandangan kami tentang apa yang telah dilakukan oleh portal (berita) itu. Selepas itu, terpulang kepada kerajaan Singapura untuk mengambil langkah selanjutnya," katanya.

Dalam laman sesawang itu, TISG mendakwa telah mencatatkan lebih sejuta pembaca dalam sebulan dan sedang memperluaskan liputannya ke Asia serta Australasia.

Menurut portal itu, ia mengetengahkan perspektif bebas terhadap berita dan hal ehwal semasa di Singapura.

Portal itu dimulakan pada 9 Ogos 2013.

- Bernama

Lihat Komen
ADS