Warga kerja Prolintas laksana ibadah korban
Warga kerja dari enam syarikat di bawah kumpulan Prolintas hari ini mengadakan majlis ibadah korban sempena Aidiladha di pejabat operasi syarikat itu di Shah Alam, Selangor.
Enam syarikat konsesi tersebut ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kajang-SILK (SILK), Lebuhraya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata program tahunan itu dilaksanakan sempena mengambil keberkatan serta menginsafi pengertian sebenar di sebalik ibadah korban.
"Walaupun ini acara tahunan ini diadakan sejak 2004 tetapi aktiviti penyembelihan di pejabat operasi tol seperti ini adalah yang julung kali diadakan kerana sebelum ini, kami melakukan aktiviti korban di masjid dan surau.
"Hari ini, kami menyembelih tiga ekor lembu di Pejabat Operasi Plaza Tol Alam Impian manakala 17 ekor lagi sudah disumbangkan kepada masjid dan surau di sekitar jajaran lebuh raya kendalian Prolintas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Daging korban yang disembelih itu diagihkan kepada penduduk dan keluarga asnaf di kawasan berdekatan.
-Bernama

