Cabaran dalam melaksanakan ibadat haji bukan sahaja perlu mematuhi syarat-syarat wajib dan rukun mengerjakan ibadah berkenaan, malah jemaah juga diuji dengan pelbagai dugaan.

Dugaan berkenaan turut merangkumi keadaan cuaca panas terik, khemah penempatan serta kemudahan yang terhad dan sebagainya.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara berkenaan sudah pun diberitahu dalam kursus haji di tanah air dan ia menuntut jemaah supaya mempunyai kesabaran tinggi dalam berdepan dugaan berkenaan memandangkan ia mempunyai hubung kait dengan perasaan.

"Dalam banyak kursus haji di tanah air, sudah diberitahu bahawa cabaran sebenar haji adalah di Arafah dan Mina. Jadi, jemaah perlu mempunyai kesabaran tinggi dalam menghadapi ujian ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah di Mina, Aarab Saudi pada Sabtu lalu.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata kerajaan sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan untuk memenuhi keperluan jemaah haji bagi memastikan mereka dalam keadaan baik dan dapat menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

"Kita bersyukur apabila kuota jemaah haji ditambah. Cuma, kita harus faham bahawa sempadan Arafah dan Mina adalah kekal dan tidak berubah sejak semasa Rasulullah SAW.

"Begitu juga khemah penempatan jemaah haji di Arafah dan Mina tidak berubah kerana saiz tapak yang terhad. Tentulah mereka berasa tidak selesa dan sebagainya. Maka, di sinilah menuntut kesabaran tinggi jemaah haji,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap jemaah Malaysia mempunyai sikap bertimbang rasa sesama mereka.

"Ingatlah, ujian haji adalah juga ujian hati dan perasaan. Maka, jagalah hati dan ibadah haji ini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata setakat ini, sebanyak 841 jemaah haji Malaysia dimasukkan ke pusat rawatan Tabung Haji di Tanah Suci manakala 121 orang dirawat di beberapa hospital di Arab Saudi.

Beliau berkata jumlah kematian setakat ini adalah seramai 24 orang.

"Saya mewakili kerajaan Malaysia mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana sepanjang jemaah haji Malaysia dimasukkan ke hospital di Arab Saudi, mereka tidak dikenakan sebarang bayaran walaupun melibatkan penyakit kronik,” katanya.

-Bernama