Pakatan Harapan akan bertanding di satu-satunya kerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

“Pakatan Harapan akan bertanding di parlimen Sungai Siput supaya ia memberi peluang kepada pengundi-pengundi Sungai Siput membuat pilihan yang lebih bijaksana siapa yang mampu menggantikan Umno-BN,” katanya.

Katanya, langkah itu diambil setelah PSM mengumumkan akan bertanding kerusi DAP tanpa sebarang rundingan.

Nga menganggap pengumuman itu membuktikan PSM tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan HARAPAN sebaliknya didakwa mahu memecahkan undi blok pembangkang.

“Sekiranya PSM seperti kenyataan mereka menganggap Umno-BN sebagai musuh utama, mereka harus Bertanding di kawasan yang telah dimenangi oleh Umno.

“Tetapi terbukti parti sosialis sayap kiri ini hanya fokus dalam kerusi yang sudah dimenangi oleh pembangkang, terutamanya DAP.

“Oleh itu ia amat jelas di mana pendirian mereka yang sebenar,” katanya.

Nga menegaskan hanya Harapan satu-satunya alternatif yang mampu menggantikan BN.

“Mana-mana blok ketiga atau parti lain yang enggan bekerjasama dengan HARAPAN adalah bersama BN dan tujuan mereka hanya untuk menyelamatkan Najib,” katanya.

Kerusi itu kini disandang oleh Michael Jeyakumar Devaraj selama dua penggal. Bagaimanapun beliau menggunakan lambang PKR.

Kerusi itu sebelum itu menjadi kubu kuat bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.