Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata meskipun Malaysia diangkat sebagai antara negara terbaik untuk bersara namun ada beberapa individu yang enggan berbuat demikian.

“Pada hari ini ada seseorang memaklumkan saya bahawa Malaysia telah diletakkan sebagai tempat terbaik di dunia untuk bersara. Ia sangat hebat apabila (negara ini) adalah tempat terbaik untuk didiami.

“Bagaimanapun ada satu dua individu yang enggan bersara, tapi itu persoalan lain,” katanya yang tidak menamakan individu itu dalam ucapan di majlis Sepetang Bersama PM di Taman Tugu, Kuala Lumpur.

Presiden Umno itu dijangka berdepan cabaran sengit dalam pilihan raya umum akan datang dengan pakatan pembangkang yang antara lain terdiri daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat daripada Kabinet pada Julai 2015. 

Sementara itu, Malaysia disenaraikan sebagai antara negara terbaik untuk bersara di dunia. Majalah International Living, majalah tentang persaraan, memuji jalan raya dan kemudahan internet di negara ini sebagai "sangat baik, khususnya di Pulau Pinang dan ibu kota Kuala Lumpur”.

Pada majlis sama Najib mengumumkan tiga pembangunan selain reka bentuk Taman Tugu. Antaranya adalah kelulusan untuk Taman Tugu diletakkan di bawah sebuah badan amanah awam yang dinamakan Amanah Warisan Negara.

Selain itu Najib turut mengumumkan bahawa kawasan tambahan seluas 25 ekar bersebelahan tapak Projek Taman Tugu akan diletakkan di bawah badan awam sama menjadikan keseluruhan taman itu seluas 91 ekar.

Katanya lagi, jika Taman Tugu itu digabungkan dengan Taman Botani Perdana yang terletak bersebelahan, jumlah keseluruhan taman hijau ini seluas 331 ekar, sekali gus menyerupai bandaraya terkemuka dunia kerana mempunyai taman hijau di tengah kota.

“Dengan wujudnya Amanah Warisan Negara ini, kawasan Taman Tugu akan terus terpelihara dan kekal hijau buat selama-lamanya. Inilah komitmen dan janji kerajaan untuk kesejahteraan warga kota,” katanya.

Justeru Najib menggesa semua pihak bekerjasama dalam pembangunan Taman Tugu bagi tujuan pelancongan serta mercu tanda Kuala Lumpur.

“Saya yakin melalui usaha bersama, apabila dibuka kelak, Taman Tugu akan menjadi sebuah taman rimba kota yang bukan sahaja dapat dinikmati oleh para pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi juga kekal sebagai satu lagi mercu tanda Kuala Lumpur,” katanya.

Lihat Komen
ADS