Seorang pemimpin MCA hari ini menyelar tindakan DAP yang didakwanya mengamalkan politik keji berhubung video sambutan merdeka oleh presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Datuk Seri Ti Lian Ker berkata video yang berjudul “Citizens” memaparkan imej positif tetapi DAP menjadikannya sesuatu yang negatif dengan tujuan untuk menyemai kebencian dan memecah-belahkan masyarakat Cina.

Beliau menyifatkan video di mana Liow memainkan dua watak sebagai "jujur dan berkesan serta dihasilkan secara strategik untuk menghantar mesej yang meyakinkan kepada rakyat Malaysia supaya tidak berputus asa terhadap Malaysia di sebalik kesilapan kerajaan."

Ahli jawatankuasa pusat MCA dalam satu kenyataan berkata, Liow, dalam video tersebut, mengakui bahawa kesilapan telah dibuat, tetapi pada masa sama menjelaskan bahawa tidak mudah untuk mentadbir Malaysia.

Katanya, mesej yang disampaikan begitu kuat hingga DAP yang corak permainan politiknya adalah untuk mewujudkan imej negatif, sentimen anti-kerajaan dan kebencian tergamak menafikan semua itu.

Ti merujuk kepada laman Facebook pro-DAP Nasi Lemak 2020 yang menghasilkan sebuah video parodi memaparkan Liow dan presiden sebelum itu, Tan Sri Dr Chua Soi Lek.

[Baca berita penuh]