Penjual mahu rokok kotak 10 batang dikembalikan
Empat persatuan penjual menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran semula rokok kotak sepuluh batang.
Mereka hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menuntut perkara itu atas alasan ia dapat membanteras perdagangan rokok haram, termasuk “mengurangkan penggunaan”.
Persatuan-persatuan yang terlibat ialah Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) dan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA).
Persatuan-persatuan itu mendakwa mempunyai keanggotaan hampir 40,000 penjual.
“Setiap hari orang ramai terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana membeli rokok haram kerana tidak cukup wang membeli rokok yang sah.
Justeru, kotak lebih kecil memberikan pilihan kepada perokok rokok haram pilihan yang sah untuk mereka,” kata Presiden MSCSPGA Ho Su Mong.
Menurut mereka, perdagangan haram rokok kini menguasai 50 peratus pasaran.
Satu memorandum menyokong pengenalan pek rokok 10 batang dilapor akan dihantar ke pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya petang ini.
Rokok kotak 10 batang pernah diperkenalkan sebelum ini di samping pek 14, tujuh, dan enam batang.

