Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sebut ada GST baru ada program, Najib hina wanita'

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak boleh membiayai program wanita tanpa kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah penghinaan kepada wanita, kata Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, wanita merupakan golongan pembeli terbesar di negara ini tetapi dibebankan dengan cukai berkenaan.

"Ini adalah satu kenyataan yang sangat ironi sebab sebenarnya wanita adalah pengguna yang paling besar sebab mereka terpaksa membeli barang untuk keluarga, jadi the biggest spender (pembeli terbesar) in Malaysia.

"Kerana itu wanita dibebankan dengan begitu teruk sekali kerana kenaikan harga dan akibat GST. Maka sekarang perdana menteri kata ada GST baru ada program wanita.

"Itu saya rasa suatu yang menghina golongan wanita. Sebenarnya, wanita dimangsakan dalam isu ini kerana mereka terpaksa membeli barang bagi membiayai semua," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Anggota Parlimen Bayan Baru itu mengulas ucapan Najib pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersempena Hari Wanita Kebangsaan 2017 semalam.

Dalam ucapannya, Najib berkata cukai pengguna adalah sumber utama kerajaan, dan memansuhkan akan menjejaskan program Kementerian Wanita serta program kesihatan dan pendidikan.

“Sebab itu, jika anda mengkritik GST, jika anda memburukkan GST, tolong ingat, bahawa ia (GST) adalah sumber mendapatkan peruntukan program anda.

“Jika anda memansuhkan hasil RM42 bilion yang ia (GST) sumbangkan kepada ekonomi negara, semua program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak akan dapat dilaksanakan. Sama juga halnya dengan program kesihatan dan pendidikan," katanya.

Lihat Komen
ADS