NGO gesa sekat ekonomi Myanmar demi Rohingya
Putrajaya digesa mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar jika negara itu gagal menghentikan keganasan terhadap etnik Rohongya.
Gesaan itu dibuat oleh 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini termasuk Gabungan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia (Gapim) dan Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar (Merhrom).
Jurucakap Tengku Emma Zuriana memberitahu wartawan dalam sidang media hari ini bahawa 160,000 warga Rohingya terjejas akibat tindakan tentera Mynmar.
“(Cadangan ini) dibuat (oleh pihak kami) untuk menekan kerajaan Myanmar agar mengambil tindakan.
“Tapi jika kami rasa pada satu tahap ada keperluan, kami akan berjumpa pihak berkuasa berkaitan (untuk memastikan sekatan ini dilakukan),” kata Tengku Emma hari ini.
Pihak berkuasa Myanmar menyalahkan pemberontak Rohingya yang membakar rumah dan kematian orang awam, namun pemerhati hak asasi manusia dan pelarian Rohingya mendakwa pembunuhan di Rakhine adalah sebahagian dari kempen untuk mengusir mereka.
Lebih 1,000 etnik Rohingya berarak ke keduataan Myanmar di Kuala Lumpur minggu lalu untuk membantah kekejaman tentera Myanmar. Bagaimanapun, demonstrasi itu didakwa sebagai haram membawa kepada penangkapan 44 peserta.
Tengku Emma juga mengulangi kecaman pemenang hadiah nobel Malala Yousafzai ke atas pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana tidak mengiktiraf warga Rohingya.
“Kami berharap agar Suu Kyi, sebagai seorang yang sekian lama menyokong demokrasi dan pemegang Hadiah Nobel Keamanan, akan menukar status quo dan memajukan Myanmar berdasarkan prinsip keadailan, keamanan, dan kebersamaan,” katanya.

